Banjir kilat ragut tiga nyawa

ABIDJAN, 26 JUN – Tiga penduduk terkorban manakala banyak jalan serta kediaman ditenggelami banjir dan kenderaan rosak susulan hujan lebat selama tiga jam melanda bandar utama Ivory Coast, Abidjan, semalam.

Pihak bomba memaklumkan bahawa dua orang maut dalam bencana itu, namun seorang wartawan mendakwa beliau melihat mayat mangsa ketiga.

“Dalam tempoh hanya setengah jam, air naik mencecah 1.5 meter. Kami terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat ke bumbung rumah ketika arus deras membanjiri jalan,” kata wartawan, Thomas Diego kepada AFP.

Syarikat tempat Diego bekerja yang terletak di kawasan mewah di timur Cite Reconciliation, berhampiran Cite Allabra, turut dilanda lumpur banjir, malah arus deras menghanyutkan kenderaan sehingga sesetengahnya terbalik.

Pintu masuk Cite Reconcilation setinggi empat meter yang diperbuat daripada logam, juga musnah serta dibawa arus, manakala dinding kediaman runtuh dan sebuah rumah dihempap lampu jalan.

“Segala barang di dalam rumah telah rosak,” kata seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Acket.

“Kami tidak tahu harus pergi ke mana kerana rumah ini tidak boleh didiami lagi. Kami hanya mampu memohon pertolongan Tuhan,” rintih seorang penduduk lain, Kevin Brou.

Bencana terbaharu itu menimpa ibu negeri ekonomi negara Afrika Barat ini selepas 16 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat pada Khamis lalu. – AFP

Kelihatan kereta dihanyutkan oleh banjir di Alhambra de la Riviera II, Cocody, daerah Abidjan pada 25 Jun 2020. – AFP