Banjir kilat ragut tujuh nyawa

SANAA, 21 APRIL – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 85 orang cedera dalam banjir kilat di Yaman pada bulan ini, kata PBB hari ini, tatkala ancaman koronavirus juga membelenggu negara tersebut.

Yaman mengumumkan kes pertama COVID-19 pada 10 April, dan pertubuhan bantuan telah mengingatkan sistem kesihatannya – runtuh sejak konflik di antara kerajaan dan pemberontak Huthi meletus pada 2014, tidak dilengkapi cukup untuk mengendali krisis itu.

“Hujan lebat dan banjir di seluruh kawasan utara, termasuk Marib, pada pertengahan April membawa kepada bencana dan kerosakan harta dan tapak untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal,” kata agensi penyelaras kemanusiaan PBB OCHA.

“Maklumat awal menunjukkan tujuh orang, lima wanita dan dua kanak-kanak, terbunuh dalam banjir dan 85 lagi cedera, termasuk tujuh yang cedera parah dan dimasukkan ke hospital.”

Ibu negara Sanaa dan daerah di wilayah yang sama “telah terjejas teruk,” tambahnya.

Ribut juga melanda wilayah lain, termasuk Ibb, Hajah dan Marib, yang merupakan kubu terakhir kerajaan di utara dan ‘pusat utama’ konflik pada masa sekarang. – AFP