Banjir landa Bosnia, cetus kebimbangan

SARAJEVO, Bosnia-Herzegovina, 14 Mei – Rumah-rumah dan jalan raya telah dibanjiri di sebahagian Bosnia selepas air sungai melimpahi tebingnya berikutan hujan lebat, mencetuskan kebimbangan hari ini mengenai banjir lima tahun lalu yang mengorbankan puluhan orang.

Media Bosnia melaporkan yang para penyelamat sedang mencari budak lelaki berusia 6 tahun yang terjatuh ke dalam sungai deras dekat rumahnya di tengah kampung Begov Han Bosnia. Stesen TV N1 mengatakan budak lelaki itu hilang sekitar tengah hari (1000 GMT) hari ini.

Beberapa pihak berkuasa tempatan di utara dan tengah Bosnia mula mengenakan langkah kecemasan hari ini untuk menangani banjir dan menggesa penduduk yang tinggal berdekatan sungai untuk berpindah.

Sesetengah sekolah telah membatalkan kelas, sementara bekalan elektrik dan air turut terganggu.

Turunan hujan juga menyebabkan tanah runtuh, menutup jalan-jalan tempatan. Manakala sungai Vrbanja telah memusnahkan jambatan pejalan kaki sementara berhampiran bandar Banja Luka.

Di Bosnia, Republika Srpska, pasukan koordinasi kerajaan dijangka bertemu lewat hari ini untuk menilai situasi banjir, sementara tentera Bosnia berkata ia sudah bersedia untuk memberi bantuan jika diperlukan. – AP

Seorang lelaki berjalan di hadapan rumahnya yang dibanjiri di Banja Luka, Bosnia pada 14 Mei. – AP