JAKARTA, 7 JAN – Enam orang maut dan 500 lagi berpindah dari kediaman mereka ke rumah sanak saudara terdekat apabila banjir dan tanah runtuh melanda wilayah paling timur Indonesia, Papua, menurut agensi pengurusan bencana negara itu hari ini.
“Hujan lebat sejak malam Khamis mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa sub daerah di bandar Jayapura, wilayah Papua,” kata jurucakap agensi, Abdul Muhari.
Para pegawai sedang berusaha mengenalpasti tiga mayat manakala yang selebihnya sudah dikenal pasti, kata Muhari, menambah penyelamat sedang memindahkan penduduk terjejas banjir dari kediaman mereka menggunakan tiga buah bot, manakala sebuah trak pula mengangkut mereka yang terperangkap dalam tanah runtuh.
Hujan renyai-renyai masih lagi berterusan sehingga pagi ini namun banjir sudah reda, tetapi kawasan itu masih bergelap kerana bekalan elektrik terputus. – Xinhua