Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Banjir: Lima negeri capai 100 peratus bayaran bantuan wang ihsan

    KUALA LUMPUR, 3 JAN – Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Perak mencapai 100 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah yang terkesan banjir, manakala Negeri Sembilan 82.7 peratus, Pahang (65.5 peratus) dan Selangor (47.6 peratus).

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata bayaran BWI itu dijangka selesai diagihkan pada Rabu ini (5 Januari), dan ia tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua.

    Beliau berkata sehingga semalam (2 Januari), BWI telah selesai diagihkan kepada 28,258 atau 61.2 peratus daripada 46,162 ketua isi rumah, manakala 38 waris mangsa daripada 51 kematian akibat bencana banjir telah menerima BWI Pengurusan Kematian.

    “Bagi memudahkan urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Disember 2021,” katanya.

    Beliau seterusnya menasihatkan mereka yang menerima bantuan kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) supaya berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti scamming.

    Perdana Menteri berkata hari ini beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 (MTL 2021/2022) dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang telah ditubuhkan bagi mengurus inisiatif pasca banjir bencana monsun timur laut.

    Antara yang hadir di mesyuarat itu ialah Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara serta Ketua Pengarah agensi-agensi berkaitan.

    Sementara itu Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sehingga semalam, kerja-kerja pembersihan bagi Kuala Lumpur dan Melaka telah mencapai 100 peratus manakala Negeri Sembilan (95 peratus), Selangor (82 peratus) dan Pahang (77 peratus), dan dianggarkan 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera. – Bernama

    Rakaman gambar menunjukkan perbandingan keadaan paras air hari ini (atas) dan semalam (bawah) di Empang Sungai Dua, Gemencheh berhampiran laluan utama Jalan Tampin-Gemas. Kos pemulihan akibat banjir bagi infrastruktur awam dijangka menelan belanja RM967.2 juta, kata perdana menteri. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...