LONDON, 13 Jan – Penduduk pesisir pantai di selatan England diarahkan berpindah semalam, berikutan ramalan banjir teruk, selepas beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dibatalkan, susulan salji tebal.
Pihak polis menjalankan operasi rumah ke rumah di perkampungan Jaywick, di tenggara England, bagi memberi amaran kepada penduduk supaya berpindah pada pagi Jumaat, sehari sebelum hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku.
Arahan itu dikeluarkan susulan tujuh amaran banjir oleh Agensi Alam Sekitar yang didakwa mampu mengancam nyawa, selain 68 amaran banjir yang dikeluarkan agensi berkaitan.
“Ini bukanlah satu keputusan yang mudah, sebaliknya ia dibuat demi keselamatan semua penduduk sehinggalah cuaca kembali pulih,” kata Ketua Inspektor Polis, Russ Cole.
Pihak berkuasa turut menyediakan pusat perlindungan sementara kepada penduduk, termasuk kepada haiwan peliharaan mereka.

Penduduk juga dinasihatkan meninggalkan kampung itu sehinggalah keadaan kembali pulih.
Polis juga berkata, lebih 1,100 pemilik kediaman di sepanjang pesisir pantai berhampiran wilayah Suffolk, turut diarahkan berpindah.
Kementerian Pertahanan berkata, 100 anggota tentera sudah dikerah ke bandar tepi laut Skegness untuk membantu memindahkan kira-kira 3,000 penduduk.
Persiapan menjelang banjir dibuat berikutan salji tebal menyelubungi di seluruh Scotland, Ireland Utara dan sebahagian England, semalam. – AFP