Banjir ragut 6

BANGKOK, 6 Jan – Pihak berkuasa Thailand hari ini memberi amaran bagi kejadian banjir kilat di seluruh selatan negara itu ketika hujan lebat melanda rantau itu yang meragut kira-kira enam jiwa, menangguhkan banyak jadual penerbangan dan mengganggu percutian ketika musim kemuncak pelancong.

Sembilan wilayah di sepanjang selatan Thailand dilanda dengan hujan yang tidak bermusim selama hampir seminggu, dengan pulau peranginan Samui dan Phangan dibanjiri, mengakibatkan beribu-ribu pelancong terkandas.

Enam orang terbunuh dengan kira-kira 120,000 penghuni terjejas akibat banjir yang berlaku di seluruh selatan, kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan, di mana banjir menukar jalan raya menjadi sungai dan menjejaskan gerabak-gerabak kereta api.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran penduduk dan pengunjung ke selatan bagi kemungkinan ‘hujan lebat dan banjir kilat’ dengan turunan hujan lebat dijangka berterusan bagi dua hari lagi.

Gambar-gambar yang tersebar dalam media sosial menunjukkan kereta dan penunggang motosikal melalui air yang berlumpur setinggi pinggang.

Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha semasa memberi ucapan kepada para pegawai kerajaan dan penghuni di Dewan Bandar Narathiwat, di hadapan sumbangan kecemasan bagi mangsa banjir, di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada 6 Januari. – AFP
Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha semasa memberi ucapan kepada para pegawai kerajaan dan penghuni di Dewan Bandar Narathiwat, di hadapan sumbangan kecemasan bagi mangsa banjir, di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada 6 Januari. – AFP

Tuula Fitzpatrick, pemilik rumah tamu Moby Dick berhampiran pinggir Samui, berkata banjir tersebut adalah yang paling buruk melanda pulau itu lebih dari sedekad.

“Di rumah tamu kami terdapat banyak orang yang penerbangan mereka dibatalkan,” ujarnya kepada AFP.

“Saya sudah tinggal di sini selama 12 tahun dan tidak pernah melihatnya sebegini teruk…ia adalah menakutkan. Sebahagian pekerja tidak dapat datang bekerja.”

Perkhidmatan kereta api juga terjejas di tanah besar, dengan kereta api tidak dapat melalui rantau yang dibanjiri air.

“Banjir menjejaskan trek dan di sebahagian tempat trek dihanyutkan,” kata Thanongsak Kongprasert, timbalan gabenor bagi State Railway of Thailand.

Lapangan terbang utama di wilayah Nakhon Si Thammarat turut terjejas kerana landasannya dibanjiri, menjejaskan kira-kira 26 penerbangan, kata kementerian pengangkutan.

Ketua junta, Prayut Chan-O-Cha tiba di wilayah paling selatan, Narathiwat hari ini untuk memberikan bantuan banjir dan bertemu dengan pegawai-pegawai. – AFP