MADRID, 12 DIS – Mayat seorang lelaki telah ditarik keluar dari sebuah van yang terperangkap akibat banjir di utara Sepanyol semalam, kematian kedua berkaitan dengan hujan lebat yang menyebabkan sungai-sungai melimpahi tebingnya.
Anggota penyelamat mengesan lokasi van tersebut dalam sungai Bidasoa di rantau utara Navarra kelmarin, sehari selepas lelaki berusia 61 tahun itu dilaporkan hilang selepas tidak hadir kerja di kilang, kata jurucakap polis tempatan.
Tetapi arus yang kuat dan penglihatan yang terhad menghalang mereka untuk mendapatkan semula mayatnya dari van sehingga pagi hari ini, tambah jurucakap itu.
Wanita berusia 49 tahun itu juga maut dalam keretanya di kampun Sunbilla, Navarra pada Jumaat lepas setelah kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat selama dua minggu.
Hujan lebat yang melanda utara Sepanyol itu juga disertai salji pada altitud lebih tinggi yang menyebabkan sungai meningkat naik, menenggelamkan kereta dan membanjiri rumah.
Semasa lawatan ke kawasan banjir hari ini, ketua kerajaan serantau, Maria Chivite berkata Navarra perlu meningkatkan kesediaan menghadapi banjir.
“Navarra akan terus hidup dengan kebanjiran yang melanda dan kita perlu bersedia supaya apabila kejadian banjir berlaku, ia akan memberi impak sederhana,” katanya kepada wartawan. – AFP