Banjir: Ratusan ribu penduduk berpindah

BEIJING, 19 OGOS – Banjir di kawasan pergunungan di barat daya China telah menghanyutkan jalan raya dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah dari rumah mereka, dengan pihak berkuasa mengingatkan hari ini Empangan Three Gorges menghadapi kemuncak banjir terbesar dalam sejarahnya.

Gambar yang disiar di CCTV menunjukkan air keruh menampar kaki Patung Besar Buddha Leshan – patung setinggi 71 meter yang diukir di lereng cenuram di wilayah Sichuan.

CCTV berkata banjir belum mencecah kaki Buddha sejak Republik Rakyat China ditubuhkan pada 1949.

Arus pasang itu menghanyutkan deretan beg pasir yang didirikan untuk melindungi patung, tapak warisan UNESCO dan destinasi pelancong popular yang menghadap tiga sungai yang bertemu itu.

Gambar video menunjukkan tentera memindahkan penduduk – kebanyakan mereka warga emas – dari daerah Fengzhou bertentangan dengan patung, membantu mereka menaiki bot.

Kira-kira 1,020 orang telah terkandas di Fengzhou, mengalami kekurangan makanan dan air selepas air banjir memutuskan lalu lintas jalan, kata agensi berita Xinhua. Lebih 100,000 orang telah dipindahkan apabila bandar Ya’an dan Leshan dilanda banjir, tambahnya.

Gambar media juga menunjukkan batang pokok ditenggelami air, dan dalam satu gambar menunjukkan sebuah bangunan kecil roboh dalam air banjir yang deras dan dihanyutkan.

Satu lagi tapak warisan dunia UNESCO, Taman Negara Jiuzhaigou berkata ia akan ditutup sementara disebabkan kebimbangan keselamatan.

Xinhua berkata air banjir dijangka melanda kawasan metropolis Chongqing pada akhir minggu ini. – AFP

Gambar dari udara menunjukkan Patung Besar Buddha Leshan dikelilingi air banjir ekoran hujan lebat di Leshan di barat daya wilayah Sichuan, China. – AFP