Banjir Sabah: 25 jalan terjejas, 10 kejadian tanah runtuh

KOTA KINABALU, 17 JAN – Sebanyak 25 jalan terjejas dan 10 kejadian tanah runtuh dilaporkan dalam kejadian banjir di negeri ini, sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa jalan terbabit mendapati, hanya kenderaan berat dan kenderaan pacuan empat roda mampu melepasi banjir, namun di beberapa kawasan seperti Jalan Kolopis di daerah Penampang, jalan itu langsung tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan.

Selain itu tanah runtuh menyebabkan Jalan Penampang-Tambunan runtuh sebahagiannya dan tidak selamat untuk dilalui, kerana hujan lebat berterusan dikhuatiri memburukkan keadaan tanah di bahagian bawah jalan itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan hari ini memberitahu antara jalan yang terjejas selain Jalan Kolopis, empat lagi jalan di daerah Penampang, jalan utama menghubungkan daerah Tuaran dan Kota Kinabalu, tiga di kawasan daerah, enam daerah Kudat iaitu dan dua jalan di Kota Marudu.

Bagi daerah Pitas sebanyak tujuh jalan terjejas, Daerah Paitan dan Lahad Datu masing-masing mempunyai dua jalan terjejas.

Sementara itu 10 kejadian tanah runtuh dilaporkan di tujuh buah kampung, melibatkan empat daerah dengan setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat kejadian tersebut.

Di Kota Kinabalu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Kampung Lokub dan satu lagi kejadian di Kota Marudu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2, manakala enam kejadian tanah runtuh dilaporkan di Pitas dan dua di Daerah Kudat. – Bernama

Penduduk di sekitar Pekan Donggongon Penampang melintasi jalan raya di bulatan Sigar yang ditenggelami banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam. – Bernama