Monday, September 26, 2022
23.8 C
Brunei

Banjir Sabah: Nelayan pasang pukat cari ‘rezeki’ ikan air tawar

-

KOTA MARUDU, 5 JAN – Banjir yang melanda Kota Marudu sejak Jumaat lepas memberi ‘rezeki’ kepada seorang penduduk di Kampung Tinondukan Bodi dekat sini, apabila pelbagai jenis ikan air tawar dapat ditangkap menggunakan pukat yang dipasang di sekitar kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Jeffrey Ongod, 58, yang berpengalaman selama 40 tahun sebagai nelayan berkata aktiviti memasang pukat ketika banjir adalah satu kebiasaan buat dirinya sebagai ikhtiar mencari sumber rezeki tambahan memandangkan dia tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh.

Bapa kepada enam anak itu mula memasang pukat pada pagi Ahad selepas kawasan rumahnya dinaiki air susulan hujan berterusan di Kota Marudu, dan menurutnya, dia sudah menangkap lebih 10 kilogram ikan seperti puyu, keli dan tilapia.

“Setiap kali banjir saya akan memasang pukat di sekitar kawasan rumah, setahun mungkin sekali atau dua kali sahaja, mencari sumber rezeki tambahan sebab kami tidak dapat ke laut sekiranya banjir dan keadaan cuaca tidak menentu.

“Sehari saya boleh dapat kira-kira lima kilogram ikan dengan hasil memukat. Ikan-ikan ini ada yang saya jual pada harga RM15 sekilogram dan ada juga yang diberikan kepada kawan-kawan, selain untuk makan sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Kota Marudu, yang terletak di bahagian utara Sabah kira-kira 122 kilometer dari Kota Kinabalu, merupakan daerah paling terjejas banjir sejak Jumaat lepas membabitkan
ribuan mangsa dan keluarga dari pelbagai kampung di daerah itu.

Difahamkan, banjir mengejut di daerah itu berlaku susulan taburan hujan melebihi paras biasa antara 40 hingga 50 milimeter sehari kepada 200 milimeter sehari menyebabkan air di beberapa sungai di daerah berkenaan naik dan melebihi aras bahaya.

Lima daerah lain turut terjejas banjir ialah Pitas, Paitan, Telupid, Beluran dan Sandakan. – Bernama

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas bot terbalik, ragut 24 jiwa

DHAKA, 25 SEPT – Sekurang-kurangnya 24 orang lemas manakala 24 lagi masih hilang selepas bot yang sarat membawa penganut Hindu terbalik di sebuah sungai...
- Advertisment -