PARIS, 24 OKT – Tiga orang maut selepas ribut kuat selama beberapa hari menyebabkan sungai melimpah dan membanjiri seluruh kawasan selatan Perancis, mengakibat ‘kerosakan besar’, kata menteri dalam negeri hari ini.
Pekerja menyelamat telah menjalankan hampir 1,800 operasi sejak Ahad, kata Christophe Castaner dalam satu kenyataan, selepas lapan kawasan diletakkan dalam senarai amaran banjir kilat.
Beliau tidak memberikan butir tentang bila atau bagaimana kematian berlaku, namun seorang pegawai kementerian dalam negeri berkata mereka berlaku di kawasan Herault, Gard dan Pyremees-Orientales.
Kira-kira 700 rumah masih tidak mempunyai bekalan elektrik di Herault dan Gard, dan banjir mungkin menghentikan perkhidmatan kereta api di kawasan itu sehingga sekurang-kurangnya 4 November, kata operator kereta api SNCF.
“Angka kematian mungkin lebih tinggi,” kata Menteri Pengangkutan Elisabeth Borne ketika memeriksa kerosakan di Beziers, bandar yang paling teruk terjejas.
Banjir juga membunuh seorang lelaki di timur laut Sepanyol pada minggu ini, dan lima orang hilang, kata pegawai semalam. – AFP
