Banjir Tutong: 12 rumah terjejas, dua insiden tanah runtuh

Oleh Syahmi Hassan & Hakim Hayat
Gambar oleh NDMC & Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Sejumlah 12 buah rumah ditenggelami banjir dan dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan-kawasan rendah di Daerah Tutong bermula 7 Disember lalu manakala paras air banjir pula agak tinggi sejak seminggu yang lalu.

Lima buah kampung di kawasan rendah di Daerah Tutong iaitu Kampung Rambai, Ukong, Panchong, Kuala Ungar Bangkuru dan Layong merupakan kawasan yang paling teruk terjejas.

Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong itu ketika menjelaskan mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan terjejas banjir sebelum tinjauan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Amir Hairil bin Haji Mahmud dan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut ke kawasan banjir hari ini.

Awang Shamsul turut mengongsi bahawa hujan lebat berterusan pada 7 Disember menyebabkan air sungai melimpah ke beberapa batang jalan dan kawasan kediaman.

Tujuh batang jalan iaitu Bangkuru, Keranching, Benutan, Kuala Ungar, Rambai, Bang Pangan dan Jalan Kecil Layong serta 12 buah rumah juga ditenggelami banjir semenjak lebih semingu lalu, namun paras air sudah pun surut tiga hari lalu dan tidak lagi menjejaskan rumah-rumah manakala jalan-jalan sebahagiannya sudah boleh dilalui.

Jalan Kecil Layong kelihatan ditenggelami banjir yang melanda Daerah Tutong dan menyaksikan 12 buah rumah terjejas serta dua insiden tanah runtuh berlaku, manakala tujuh batang jalan juga turut menerima impak hujan monsun yang lebat dan air sungai yang melimpahi tebing.
Awang Mohammad Amir dan Awang Salminan ketika meninjau beberapa kawasan banjir di Daerah Tutong.
Salah sebuah rumah yang terjejas oleh banjir akibat hujan monsun di Kampung Layong, Tutong.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut mengagihkan catuan makanan kepada sejumlah 47 keluarga yang terjejas dalam banjir tersebut, manakala bot dan jaket keselamatan juga disediakan di beberapa kawasan bagi usaha kontigensi.

Dalam pada itu, dewan perlindungan sementara juga dikenalpasti di lima buah kawasan yang boleh menempatkan sehingga 290 orang.

Menurut Awang Shamsul lagi, DDMC Tutong turut membuat beberapa persediaan menghadapi banjir dengan memantau keadaan cuaca dan paras air Sungai Tutong serta pemasangan papan tanda amaran.

Melalui langkah-langkah yang telah diambil dan kerjasama daripada ketua-ketua kampung membolehkan DDMC Tutong bertindak secara bersepadu dan sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung.

Dalam pada itu, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyediakan kenderaan trak dan mengerahkan kira-kira 80 anggota tentera bagi memberi bantuan dalam operasi itu bermula 15 Disember dengan mengangkut penduduk kampung yang terperangkap di Jalan Kecil Layong.

Setiausaha tetap-setiausaha tetap KHEDN juga telah mininjau beberapa kawasan terjejas banjir terutamanya rumah-rumah di Kampung Kuala Ungar dan Kampung Benutan, sebahagian jalan-jalan ditenggelami air dan Kem ABDB.

Sebagai usaha bersepadu dan muafakat, agensi-agensi kerajaan khususnya penghulu mukim, ketua kampung, Jabatan Daerah Tutong, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Ambulans (EMAS), Pejabat Kesihatan, JAPEM, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bekerjasama dan membuat pemantauan secara berterusan ke atas kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Hadir sama menyertai lawatan kerja tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku penghulu Mukim Telisai dan pemangku penghulu Mukim Ukong; pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie; ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan ahli-ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) Daerah Tutong.