Bank AS mula gelisah

NEW YORK, 15 SEPT – Serangan Presiden Donald Trump ke atas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan pasaran kewangan merosot, namun permintaannya bagi kadar faedah sifar telah membuatkan bank-bank gelisah.

Ketika Fed mengubah haluannya dan bersedia untuk mengurangkan kadar pinjamannya buat kali kedua pada Rabu, sebahagian besar bank-bank AS telah memberikan petanda bahawa satu tamparan besar bakal menimpa mereka.

Bank-bank termasuk JPMorgan Chase dan Wells Fargo pada minggu lepas mengurangkan ramalan keuntungan 2019 mereka yang terikat dengan kadar faedah ketika pusat-pusat bank di seluruh dunia melonggarkan dasar monetarinya sebagai tindak balas pada pertumbuhan global yang melemah.

Kadar faedah yang rendah bermakna kurang keuntungan pada pinjaman yang dihasilkan oleh bank-bank, terutamanya jika mereka telah menawarkan pulangan deposit yang tinggi bagi menarik para pelanggan.

Laporan Moody’s memberi amaran bahawa kadar faedah yang rendah akan menjejaskan keuntungan bank secara amnya dan mencetuskan lebih banyak penggabungan dalam industri tersebut. – AFP

JPMorgan Chase telah mengurangkan ramalan keuntungan 2019 mereka yang terikat dengan kadar faedah baru-baru ini. – AFP