Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri bakal meriahkan Pesta Ria Kewangan AMBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Sebagai usaha mempertingkatkan kesedaran mengenai pentingnya celik kewangan dalam kalangan masyarakat di negara ini, Bank Baiduri akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai selama dua hari dalam sama-sama memeriahkan Pesta Ria Kewangan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang akan diadakan pada 4 dan 5 Ogos ini.

    Pesta yang diadakan bersempena Hari Menabung Kebangsaan itu membawa tema ‘Generasi Celik Kewangan’, akan diadakan di Jerudong Park Colonnade.

    Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha berkata ia merupakan penyertaan buat tiga tahun berturut-turut Bank Baiduri dalam acara Hari Menabung Kebangsaan itu.

    “Kami merasakan celik kewangan adalah penting, terutamanya kepada pengunjung-pengunjung muda kami. Aktiviti seronok dan interaktif kami direka untuk mencapai dua matlamat ini iaitu memberikan maklumat berterusan kepada para ibu bapa mengenai peluang-peluang yang tersedia ada dengan membuat simpanan dan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat menabung.”

    Beliau menambah, “Ia adalah penting bagi generasi muda untuk memahami asas kewangan. Kami mempunyai pasukan yang terdiri daripada perancang kewangan di petak aktiviti kami, yang sentiasa bersedia untuk menjawab apa sahaja persoalan yang diutarakan oleh para pengunjung.”

    Antara aktiviti yang boleh disertai oleh para pengunjung adalah ‘Money Personality’ dan ‘The Bad Debt Wolf’. ‘Money Personality’ adalah permainan yang direka untuk membantu para peserta mengenal pasti tabiat kewangan mereka.

    Manakala ‘The Bad Debt Wolf’ pula, mengajar para pengunjung muda untuk mengenal pasti antara hutang baik dan hutang lapuk.

    Selain itu Bank Baiduri juga akan mengadakan kuiz di mana para pengunjung berpeluang untuk memenangi beberapa hadiah menarik yang telah disediakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda