Tuesday, October 4, 2022
27.6 C
Brunei

Bank Baiduri catat pencapaian bersejarah

-

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Bank Baiduri mencatat satu lagi pencapaian bersejarah pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2022 setelah diiktiraf sebagai bank terbaik di Brunei oleh penerbitan kewangan berpangkalan di United Kingdom (UK), Euromoney.

Acara itu berlangsung di The Londoner, London, UK, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, hari ini, hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri, Dato Paduka Timothy Ong Teck Mong.

Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam kenyataan itu menyatakan pihak bank amat berbesar hati dinamakan sebagai bank terbaik Brunei oleh Euromoney, selaku pihak berkuasa terkemuka untuk pasaran perbankan dan kewangan dunia.

“Ini juga merupakan kali pertama bagi mana-mana bank di Brunei diiktiraf pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney yang berprestij. Sebagai pemenang sulung negara, kami berbesar hati untuk mewakili Brunei pada acara perbankan global yang sangat dihormati ini,” tambahnya.

YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah bergambar bersama Ti Eng Hui dan Dato Paduka Timothy Ong pada majlis yang berlangsung di London, UK. – Gambar serahan Bank Baiduri

Bank Baiduri mencapai pertumbuhan kewangan yang kukuh pada 2021 walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar akibat pandemik.

Bank Baiduri melaporkan rekod keuntungan bersih sebanyak $58.5 juta, peningkatan 3 peratus berbanding 2020 dan melebihi purata industri.

Pertumbuhan berterusan terletak pada tumpuan pelanggan yang kukuh dan keupayaan pihak bank untuk memanfaatkan inovasi teknologi dalam memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang.

Bercakap mengenai kemenangan anugerah itu, Ti Eng Hui menambah pencapaian itu diperoleh melalui fokus berterusan bank dalam meneruskan matlamat strategiknya.

“Antara matlamat kami adalah untuk menawarkan pengalaman terbaik pelanggan dalam kedai dan juga dalam talian yang membawa kepada peningkatan premis serta
pendigitalan perkhidmatan.

“Menyedari keperluan bagi peralihan kepada digital semasa gelombang kedua pandemik pada Ogos 2021, Bank Baiduri terus mempergiatkan usahanya dalam pendidikan pengguna menggunakan pelbagai saluran dalam talian dan luar talian. Pihak bank juga menawarkan saluran tanpa sentuh alternatif untuk beberapa perkhidmatan termasuk tempahan temu janji dalam talian dan perundingan video,” ujarnya lagi.

Demi meneruskan kempen digital daripada perspektif perniagaan, Ti Eng Hui turut menyatakan pihak bank mengambil langkah dalam menyokong perniagaan dan individu yang terjejas oleh wabak COVID menerusi bantuan kewangan.

“Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk memudahkan sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada Tabung rasmi Bantuan COVID,” tambahnya.

Di samping itu, kongsinya, faktor lain yang membawa kepada kemenangan termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih mantap dalam semangat penciptaan bersama dengan pengenalan tiga tonggak CSR iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Inisiatif utama termasuk pelancaran ‘Mengalinga’ iaitu aplikasi mudah alih untuk memudahkan aktiviti kesukare-lawanan dengan kerjasama Ke-menterian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

“Selain menentu ukur dan mengatur semula strategi CSR selaras dengan misi kami untuk memperkaya, melibatkan diri dan memperkasakan komuniti, ketiga-tiga tunjang ini akan memperkukuhkan lagi fokus kami dan membolehkan pihak bank menyelaraskan
agenda kemapanan, disokong oleh Matlamat Pembangunan Mapan PBB (UNSDG),” tambah beliau.

Menurut kenyataan, Euromoney telah menilai institusi kewangan terkemuka dunia melalui data prestasi, tinjauan dan anugerah industri selama 30 tahun. Anugerah Kecemerlangan Euromoney ialah anugerah yang penting kepada bank dan jurubank yang berkaitan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1992.

Institusi itu adalah yang pertama seumpamanya dalam industri perbankan global dan tahun ini Euromoney menerima banyak penyertaan daripada bank-bank dalam program anugerah serantau dan negara yang meliputi lebih daripada 50 anugerah serantau dan anugerah bank terbaik di 100 negara.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -