BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Bank Baiduri telah mengeluarkan notis selepas menemui peranti skimming haram yang dipasang pada salah satu mesin ATM di Lambak. Penemuan itu, yang dibuat kelmarin, telah diambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan pelanggan bank tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun media sosial mereka petang kelmarin, Bank Baiduri memberikan jaminan kepada pelanggan bahawa semakan menyeluruh terhadap semua mesin ATM mereka telah dijalankan dan mengesahkan bahawa tiada mesin lain yang terjejas oleh peranti skimming itu.
Bank itu menekankan bahawa mesin ATM mereka dilengkapi dengan teknologi anti-skimming yang direka untuk menghalang peranti sedemikian daripada berfungsi dengan berkesan.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kejadian itu, dengan Bank Baiduri mengesahkan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan mesin ATM mereka. Bank itu juga bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memantau dan mencegah aktiviti penipuan pada masa depan.
“Kami terus berusaha untuk meningkatkan keselamatan mesin ATM kami dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memantau dan mencegah aktiviti penipuan tersebut. Keselamatan awda adalah keutamaan kami, dan kami menggesa anda untuk terus berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di sekitar ATM kepada kami atau pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.