Bank Baiduri lakar sejarah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Satu lagi pencapaian telah dilakar dalam sejarah 24 tahun penubuhan Bank Baiduri, di mana Bank Baiduri telah mengadakan Majlis Perletakan Batu Asas bagi Ibu Pejabat Bank Baiduri yang baharu, hari ini di Kampung Kumbang Pasang, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Baiduri, Dr Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri, Dato Timothy Ong dan Haji Sofian bin Jani, serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof bagi sama-sama meletakkan batu asas bagi ibu pejabat baharu Bank Baiduri.

Pierre Imhof dalam ucapan alu-aluannya di majlis tersebut antara lain menekankan, “Premis baharu kami merupakan gagasan idea sempurna daripada kegemilangan yang telah dicapai oleh Bank Baiduri. Sejak penubuhan kami pada tahun 1994 sebagai bank komersial yang memenuhi khidmat pelanggan korporat, kami kini merupakan bank konvensional yang memenangi anugerah dan terkemuka di Brunei.”

Beliau kemudiannya menjelaskan lebih lanjut mengenai beberapa elemen reka bentuk bangunan baharu tersebut. “Ibu pejabat kami yang baharu akan menampilkan reka bentuk moden dengan banyak elemen mesra alam seperti panel kaca besar untuk membolehkan lampu semula jadi yang cukup, kelengkapan mekanikal dan elektrik yang cekap tenaga, sistem penuaian air hujan untuk mengumpul air hujan bagi pengairan tanaman serta taman langit (sky garden) di dalam bangunan.”

Dr Yang Amat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Fattaah menyempurnakan peletakan batu asas ibu pejabat baharu Bank Baiduri.
Pierre Imhof ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Pierre Imhof berkata bahawa semua elemen reka bentuk tersebut telah dibuat bagi mencapai pensijilan BCA Green Mark, tanda aras amalan terbaik yang lebih mesra alam.

Dr Yang Amat Mulia seterusnya merasmikan acara dengan meletakkan batu asas bersama-sama dengan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri.

Setelah itu, Dr YAM Pengiran Muda Abdul Fattaah menandatangani plak kenang-kenangan dan dibawa melawat ke galeri pameran yang menerangkan pelbagai peringkat dan unsur reka bentuk ibu pejabat baharu itu. Hadir di pameran untuk memberi penerangan mengenai reka bentuk bangunan baharu itu ialah arkitek dan pereka dalaman yang terlibat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai AMBD dan kerajaan, perunding, rakan perniagaan, pelanggan yang diundang serta Pemimpin Projek, Andrew Young dan ahli pengurusan Kumpulan Bank Baiduri yang lainnya.

Ibu Pejabat Bank Baiduri baharu tersebut merupakan bangunan sembilan tingkat yang terdiri daripada pejabat-pejabat, kemudahan-kemudahan dan ruang pelbagai fungsi seperti kafe, pentas, dewan serba guna, gimnasium, kantin dan bilik rawatan (sickbay) untuk melayan pelanggan serta kebajikan kakitangan.

Ibu pejabat tersebut memiliki bukan sahaja ‘layout’ yang luas dan berfungsi tetapi juga menandakan kualiti dan kecemerlangan ruang pejabat yang selesa. Reka bentuk pejabat terbuka yang berfungsi dan fleksibel adalah sesuai untuk memenuhi perkembangan/penambahan (expansion) pada masa depan.

Ia juga dapat menampung sejumlah kakitangan pada masa ini seramai 500 orang serta peruntukan kakitangan masa depan seramai 155 orang dengan jumlah kapasiti 655 orang.