Bank Baiduri lancar Inisiatif Kesejahteraan Pekerja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dalam usahanya untuk mempromosikan keseimbangan kerjaya dan kehidupan serta tenaga kerja yang lebih sihat secara keseluruhan, Bank Baiduri telah melancarkan Inisiatif Kesejahteraan Pekerja pada majlis yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri (BCS), Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, inisiatif berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan dengan tujuan untuk mendorong pekerja bank berkenaan dan anak syarikatnya untuk menjaga kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental mereka.

Pelancaran berkenaan adalah yang pertama daripada dua fasa inisiatif tersebut, yang mana pada fasa awal ini, semua pemeriksaan kesihatan asas akan diberikan secara percuma kepada semua pekerja Baiduri yang dilakukan oleh doktor dan jururawat dari HPC.

Ini termasuk memeriksa tekanan darah mereka, indeks jisim badan, kadar gula dalam darah dan tahap kolesterol.

Ahli psikologi klinikal dari HPC juga akan berkongsi mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka sama ada di rumah mahupun semasa berada di pejabat.

Salah seorang kakitangan bank mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh wakil HPC. – Gambar serahan Bank Baiduri

Semasa pelancaran tersebut, vendor tempatan seper-ti Fuel’d dan Iced Milo Cup Brunei juga telah menaja makanan dan minuman bagi para kakitangan Baiduri dan HPC.

Dengan pelancaran inisiatif tersebut, Bank Baiduri juga memperkenalkan duta-duta kesejahteraan iaitu pekerja yang menjadi juara dalam mempromosikan budaya ksejahteraan dalam kalangan rakan sekerja.

Duta-duta berkenaan akan menjalani latihan yang di-sokong oleh HPC yang bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

Fasa pertama inisiatif akan berjalan selama beberapa hari untuk membolehkan pekerja yang berpusat di pelbagai lokasi lain memanfaatkan pemeriksaan kesihatan berkenaan.

Pekerja di Daerah Belait juga akan berpeluang menjalani pemeriksaan yang sama di cawangan Kuala Belait.

Sementara itu pada fasa kedua pula, bank berkenaan akan memperkenalkan lebih
banyak program dengan kerjasama pakar kesihatan tempatan dan organisasi yang diarahkan untuk melibatkan pekerjanya dalam aktiviti kecergasan berdasarkan kumpulan.

Ini juga akan merangkumi aspek pendidikan seperti kempen kesedaran kesihatan, seminar dan kuiz.

Matlamat fasa kedua adalah untuk membina aktiviti selepas bekerja yang telah disediakan oleh bank dan terus memupuk persahabatan dan kerja berpasukan di kalangan
pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menjelaskan bahawa Inisiatif Kesejahteraan Pekerja menyedari keperluan untuk mempromosikan kesejahteraan yang sihat kerana dapat memberi banyak manfaat, termasuk pekerja yang lebih sihat dan lebih bahagia serta ketidakhadiran yang lebih rendah disebabkan sakit.

“Kejayaan kami sangat bergantung pada produktiviti dan prestasi pekerja kami,” tambah beliau.