Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani dan Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Bank Baiduri mencatatkan satu lagi peristiwa penting apabila melancarkan jenamanya yang diperbaharui di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.
Hadir pada pelancaran itu ialah Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, sejak ditubuhkan pada Ogos 1994, bank berkenaan telah melancarkan dua kempen jenama iaitu Who’s Your Bank? pada 1997 dan It’s a Great Big World pada 2004 bertepatan dengan ulang tahunnya yang ke-10.
Pembaharuan jenama tersebut merupakan kemuncak perjalanan perancangan, penyelidikan dan penilaian yang panjang selama setahun untuk mengetahui persepsi keseluruhan jenama Baiduri. Bank Baiduri bekerjasama rapat dengan pasukan perunding jenama antarabangsa bagi mencipta identiti yang paling mencerminkan kedudukan bank tersebut hari ini dan falsafahnya daripada luaran.
Bank berkenaan juga menganalisis perbezaan interaksi dan titik sentuhan dengan pelanggan mereka untuk mengumpulkan pandangan berharga mengenai cara meningkatkan pengalaman mereka dengan bank tersebut dan penemuan itu membentuk asas jenama Bank Baiduri yang baharu.




Diinspirasikan oleh aspirasi Bank Baiduri untuk bersama-sama mencipta masa depan bersama pihak berkepentingannya, logo yang diperbaharui terdiri daripada dua garis kukuh yang disatukan melambangkan simbol perkongsian. Ia juga memperlihatkan pandangan bank yang progresif dan global, dengan sentuhan keakraban mendalam yang berakar umbi daripada warisan tempatan.
Seiring dengan logo yang diperbaharui, Bank Baiduri juga memperkenalkan janji jenamanya iaitu Co-creating Your Future.
Inti janji jenama baharu itu lebih menumpukan kepada pelanggan bank dan bersama mereka sebagai rakan kewangan di sepanjang pelbagai peringkat kehidupan.
Jenama yang diperbaharui juga menampilkan visi, misi dan nilai teras baru Bank Baiduri. Visi baru bank tersebut adalah untuk menjadi rakan kongsi kewangan yang terkemuka dan disukai, memperkasakan individu dan perniagaan bagi mencapai kejayaan kewangan dalam dunia yang berubah, sementara misinya adalah untuk memperkaya, memperkasakan dan melibatkan masyarakat yang dilayani mereka dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.
Aspek-aspek tersebut menentukan tujuan dan haluan bank yang diperbaharui untuk hubungan masa depannya dengan semua pihak berkepentingan.
Bercakap mengenai jenama yang diperbaharui itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Kami percaya bahawa jenama lebih daripada sekadar logo, produk atau slogan (tagline). Jenama kami adalah nadi kepada semua yang kami lakukan.
“Sementara kami mempersiapkan diri untuk fasa pertumbuhan berikutnya, kami ingin mengambil kesempatan untuk melihat lebih dekat kemampuan kami dalam konteks dunia yang berubah dan bertanya kepada diri sendiri bagaimana mentakrifkan semula visi kami untuk terus relevan dan untuk berkomunikasi dengan lebih baik tentang kekuatan dan nilai yang menjadikan Baiduri unik.
“Kami juga ingin mengumpulkan orang-orang kami di sebalik tujuan bersama, agar mereka teraspirasi untuk melakukan yang terbaik bagi memberi kesan yang bermakna dalam masyarakat,” tambah Ti Eng Hui.
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan jenama, Bank Baiduri juga mempunyai matlamat untuk terlibat secara aktif dengan masyarakat tempatan.
Ruang Komuniti Baiduri di Ibu Pejabat Bank Baiduri direka untuk menjadi tempat pertemuan di mana kakitangan Kumpulan Bank Baiduri dapat terlibat dan bekerjasama dengan masyarakat melalui acara dan aktiviti.
Majlis pelancaran tersebut kemudian diselajurkan dengan demonstrasi langsung ciri terkini Bank Baiduri, Emmi iaitu pembantu maya kecerdasan buatan (AI) yang terdapat di laman sesawang Bank Baiduri yang baharu dan lebih baik, yang dioptimumkan untuk mudah alih.
Turut hadir pada acara tersebut ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Baiduri serta media dan rakan strategik.