Saturday, December 2, 2023
22.9 C
Brunei

    -

    Bank Baiduri lancar Program Emerging Leaders Mentoring

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Bank Baiduri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebagai usaha berterusannya untuk mengembangkan lagi keupayaan kakitangannya, Bank Baiduri telah melancarkan Program Emerging Leaders Mentoring di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bank Baiduri menjelaskan bahawa program itu bertujuan untuk membangunkan kakitangan dan mempercepatkan pertumbuhan mereka dari segi kecekapan teknikal dan kepimpinan, menerusi bimbingan peribadi dan perkongsian pengetahuan antara mentor dan anak didik.

    Ia merupakan tambahan penting kepada senarai inisiatif yang diwujudkan oleh bahagian sumber-sumber tenaga manusia Kumpulan Bank Baiduri sebahagian daripada objektif strategiknya dalam pembangunan insan, di samping rangka kerja pengurusan prestasi dan kecekapan baharu serta Akademi Kepimpinan.

    Di bawah program itu, seramai 24 kakitangan di seluruh kumpulan bank akan dibimbing oleh mentor berbeza daripada pelbagai jabatan setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan profesional mereka.

    Mentor program terdiri daripada pemimpin daripada pelbagai bahagian perniagaan dan fungsi sokongan, termasuk eksekutif-eksekutif kanan. Ini menawarkan akses kepada anak didik untuk menimba pengetahuan daripada golongan pemimpin yang mempunyai pengalaman berdekad-dekad dalam pelbagai bidang.

    Mentor program terdiri daripada pemimpin daripada pelbagai bahagian perniagaan dan fungsi sokongan,mengongsikan pengalaman dalam majlis berkenaan. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Ketua Kumpulan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Veronica Chong dipetik berkata bahawa lebih banyak organisasi di seluruh dunia terus memberi tumpuan untuk membina budaya kerja yang lebih kukuh, kerana mereka sedar sepenuhnya bahawa budaya kerja syarikat secara langsung mempengaruhi produktiviti, perkhidmatan pelanggan, dan terutamanya pengekalan bakat.

    “Program ini adalah peluang untuk kakitangan kami yang berprestasi tinggi untuk memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman pelbagai pemimpin dalam kumpulan bank, supaya mereka boleh diperkasakan untuk menjadi pemimpin masa depan yang berkesan melalui pengalaman pembelajaran peer-to-peer yang unik,” tambahnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran berkenaan, menyatakan bahawa secara tradisinya, pekerja hanya melaporkan secara langsung kepada penyelia mereka, yang boleh mengehadkan mereka daripada mempelajari bentuk gaya kepimpinan yang lain dan cara menangani masalah yang berbeza.

    Had ini juga kadangkala boleh menyekat komunikasi dan mengehadkan kreativiti.

    “Dengan memberi mentor kepada pekerja untuk menawarkan bimbingan dan bertindak sebagai lembaga yang berkesan, mereka boleh menggunakan peluang ini untuk membina rangkaian baharu, lebih terbuka kepada idea baharu dan mungkin juga membuka kunci kebolehan lain yang tidak aktif,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    New Zealand larang guna telefon bimbit di sekolah

    WELLINGTON, 1 DIS – Telefon bimbit akan dilarang di sekolah-sekolah di seluruh New Zealand, kata Perdana Menteri konservatif Christopher Luxon hari ini, ketika kerajaannya...