Bank Baiduri lancar promosi kad Visa

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Bank Baiduri telah melancarkan Promosi ‘Bayar Semuanya dengan Kad Visa Baiduri Anda’ bagi para pemegang kad debit atau kredit Visa bank berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, sepanjang tempoh promosi berbulan bulan ini hingga Jun, pemegang kad Visa Baiduri berpeluang memenangi 250,000 Royal Skies Miles sebagai hadiah utama dan empat lagi akan memenangi 50,000 Royal Skies Miles setiap bulan apabila mereka berbelanja menggunakan kad Visa Baiduri.

Selain itu, para pemegang kad yang menggunakan ciri tanpa sentuhan atau ‘tap’ untuk membayar akan mendapat tiga kali ganda peluang memenangi hadiah.

Kenyataan menjelaskan, kad tanpa sentuhan visa Baiduri adalah cara yang selamat dan cepat untuk membuat pembayaran harian tanpa perlu memasukkan PIN atau tandatangan pada resit.

Mekanisme ketik dan bayar melibatkan cip EMV terbina dalam dan antena frekuensi radio pada kad berkenaan yang memancarkan butiran pembayaran dengan selamat dan tanpa wayar ke terminal kad.

Kad-kad tanpa sentuhan Baiduri yang layak bagi promosi berkenaan termasuk kad kredit Visa Infinite, kad kredit dan debit Visa Platinum, kad kredit Smart Executive Visa Platinum dan kad kredit dan debit Visa Classic.