Bank Baiduri lancar promosi persediaan Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Bank Baiduri telah melancarkan promosi yang bermatlamat untuk membantu pelanggan membuat persediaan bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin PD Haji Mustapha dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa promosi berkenaan bermatlamat untuk membiayai keperluan pelanggan dan mengurangkan beban kewangan dalam membuat persiapan sambutan yang bakal menjelang yang mereka harapkan akan membolehkan pelanggan meraikannya dengan meriah.

Menurut kenyataan itu, pelanggan yang membuat pinjaman dalam tempoh promosi, sehingga penghujung Julai depan, akan menerima kadar faedah istimewa bergantung pada terma dan syarat.

Pengurus Produk, Dayang Ramlah Ahad dipetik sebagai berkata, “Mereka (pelanggan) akan dapat berjimat, di samping kadar faedah rendah, dengan ganjaran membeli-belah apabila mereka berjaya membuat pinjaman.”

Beliau menjelaskan lanjut bahawa ahli-ahli Program Eksekutif Pintar Baiduri, segmen pelanggan profesional muda, akan mendapat diskaun istimewa ke atas bayaran pemprosesan sebagai sebahagian daripada manfaat kewangan pintar.