BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Dalam usaha berterusannya untuk memperkasa pelanggan dalam mengambil langkah pertama ke arah menjamin masa depan mereka, Bank Baiduri telah melancarkan tawaran istimewa sempena musim perayaan ini bagi pelan-pelan simpanan dan perlindungan mereka.
Bermula kelmarin, pelanggan yang berjaya memohon pelan-pelan insurans terpilih yang ditawarkan Bank Baiduri akan diberikan hadiah istimewa.
Bank Baiduri dalam kenyataannya menjelaskan, dengan memohon mana-mana pelan insurans dengan premium bulanan $120 dan ke atas, pelanggan yang berjaya akan menerima baucar membeli-belah bernilai $50 sama ada daripada Hua Ho atau Zalora.
Untuk mengenal pasti pelan sesuai, mereka yang berminat digesa untuk mengikuti konsultasi kewangan percuma bersama perancang-perancang kewangan Bank Baiduri di kesemua cawangannya.
Selain pelan-pelan simpanan dan perlindungan, Bank Baiduri menawarkan pelbagai produk kewangan dan pilihan pelaburan untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan.