Bank Baiduri serah Laporan Penilaian Lalu Lintas

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Bank Baiduri telah menyampaikan Laporan Penilaian Lalu Lintas (TAR), yang disiapkan oleh U.D.C Internationale Sdn Bhd, kepada Kementerian Pembangunan.

Laporan berkenaan merupakan inisiatif Bank Baiduri sebagai tindak balas terhadap jangkaan peningkatan lalu lintas di sepanjang Jalan Gadong di mana Ibu Pejabat Bank Baiduri memulakan operasinya pada 6 Julai lalu. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, laporan berkenaan telah diserahkan kepada Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Perniagaan) Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin PD Haji Mustpha. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menyatakan bahawa sejak ibu pejabatnya dipindah di 1 Jalan Gadong dari Kompleks Kiarong, mereka telah menjangkakan kedatangan ramai pelanggan dari kawasan tersebut secara kerap ke ibu pejabat bagi melaksanakan keperluan perbankan mereka.

Sehubungan dengan itu, tambah beliau, mereka telah memulakan kajian aliran lalu lintas untuk menganalisis kesan penempatan ibu pejabat baharu mereka di sana dan mengemukakan cadangan mengenai bagaimana cara mengurangkan peningkatan lalu lintas yang dijangkakan.

Ti Eng Hui menjelaskan lebih lanjut bahawa laporan berkenaan adalah sumbangan Bank Baiduri kepada kawasan sekitarnya dan berharap ia dapat membantu mengembangkan penyelesaian untuk meredakan arus lalu lintas di kawasan tersebut.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan menerima laporan yang diserahkan oleh Ti Eng Hui. – Gambar serahan Bank Baiduri