Bank Baiduri terima 2 anugerah berprestij ABF

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19, Bank Baiduri telah melakarkan pencapaian yang begitu membanggakan apabila menerima dua anugerah berprestij semasa Asian Banking & Finance (ABF) Retail Banking Awards 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, pada acara yang diadakan secara maya itu, bank berkenaan diumumkan sebagai penerima Anugerah Bank Runcit Domestik terbaik bagi Brunei bagi tahun kesembilan berturut-turut manakala itu, kempen penjenamaan semulanya pula diiktiraf sebagai Inisiatif Pemasaran dan Jenama terbaik bagi Brunei.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ABF, penerbit Majalah ABF, Tim Charlton menjelaskan bahawa institusi kewangan yang tidak tunduk kepada cabaran-cabaran dan menyesuaikan diri di tengah-tengah krisis menjadi bukti untuk berada di atas dalam industri.

“ABF Retail Banking Awards 2021 bertujuan untuk mengiktiraf firma-firma luar biasa ini dan mencabar mereka untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan mereka ketika kita bergerak ke hadapan dalam normal baharu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pencapaian yang diraih tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata bahawa mereka berbesar hati dengan pengiktirafan terhadap usaha-usaha mereka itu, terutamanya bagaimana pelaburan dalam teknologi, infrastruktur, tenaga kerja, masyarakat dan inisiatif-inisiatif strategik lain telah membolehkan bank berkenaan melayani para pelanggan dan masyarakat dengan lebih baik, walaupun berdepan cabaran yang dibawakan pandemik COVID-19.

Lim Kian Chiong ketika wawancara video dalam talian bersama Simon Hyett. – Gambar serahan Bank Baiduri

Sementara itu, semasa wawancara video dalam talian bersama Editor Penyumbang Majalah ABF, Simon Hyett, Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Lim Kian Chiong berkongsi pencapaian bank sejak tahun lalu.

Menurut beliau, perubahan terbesar yang dilalui bank berkenaan adalah penempatan semula ibu pejabat dengan ruang perbankan yang lebih besar dan kondusif sekali gus menambah pengalaman para pelanggan dengan lebih baik.

Tambahnya, bangunan ibu pejabat baharu berkenaan juga mengetengahkan beberapa penambahbaikan seperti sistem penggiliran digital, Baiduri Prestige Centre yang lebih luas serta pengalaman kafe-perbankan baharu dengan ruang kafe di mana pelanggan dapat bersantai menikmati minuman kopi sambil menunggu giliran mereka.

Menyentuh mengenai Anugerah Inisiatif Pemasaran dan Jenama yang diterima, beliau berkata bahawa kempen penjenamaan semula mereka dilancarkan pada September tahun lalu setelah perancangan, penyelidikan dan penilaian yang panjang sehingga tercetusnya nilai baharu dari segi penampilkan, warna dan nilai teras.

“Nilai-nilai ini memberi kami arah yang jelas, tujuan bersama dan memberi inspirasi kepada kami untuk menunaikan janji kami kepada pelanggan demi menciptakan masa depan yang berkelanjutan dengan variasi segmen dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Sejak 2006, Majalah ABF telah menghargai dan mengiktiraf institusi terbaik dalam industri perbankan dan kewangan di Asia.

ABF Retail Banking Award menghargai bank-bank ulung yang telah memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan runcit yang inovatif yang terbukti mampu mengubah industri.