Bank Baiduri teruskan program Let’s Give Back This Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Bank Baiduri telah meneruskan lagi siri Let’s Give Back This Ramadan dengan penyampaian sumbangan kepada 20 buah lagi keluarga kurang bernasib baik di Daerah Belait dan Daerah Tutong, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, kedua-dua acara diadakan petang tadi di cawangan bank berkenaan di kedua-dua daerah.

Hadir menyampaikan sumbangan kepada penerima di Daerah Belait ialah Pengurus Cawangan Kuala Belait, Ngo Yik Pei. Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Kanan, Awang Muiz bin DP Haji Adnan.

Sementara itu, di Daerah Tutong, sumbangan disampaikan oleh Pengurus Cawangan Tutong, Sim Ai Hua. Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan, Awang Muhd Kamarredzwan Kamarudin.

Keluarga-keluarga ber-kenaan dikenal pasti menerusi Jabatan Pembangunan Mas-yarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Kenyataan menjelaskan, siri penyampaian sumbangan berkenaan bertujuan untuk memberikan bantuan kepada keluarga yang kurang bernasib baik di keempat-empat daerah dengan menyumbangkan wang tunai atau baucar membeli-belah sebagai persediaan bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dua acara pertama bagi siri berkenaan telah diadakan di Daerah Temburong dan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

ATAS & BAWAH: Antara keluarga kurang bernasib baik di Daerah Belait dan Daerah Tutong yang menerima sumbangan daripada Bank Baiduri.