Bank DBS: 45,600 pekerja mungkin dikurangkan

SINGAPURA, 27 APRIL – Pengurangan pekerja di Singapura mungkin mencecah 45,600 orang pada tahun ini dengan ekonomi dibelenggu ‘kegawatan berlarutan yang teruk’, tatkala negara berusaha membendung penularan koronavirus dengan perintah ‘pemutus litar’ berpanjangan, menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Bank DBS hari ini.

Ditulis oleh ahli ekonomi senior bank Irvin Seah, laporan itu berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura kini dijangka menguncup sebanyak 5.7 peratus, dengan sektor perkhidmatan dan pembinaan menghadapi kesan paling teruk akibat pelanjutan perintah ‘pemutus litar’ tersebut.

“Jika Singapura gagal mengawal wabak, pertumbuhan KDNK mungkin merosot kepada -7.8 peratus,” kata beliau, menggelar 2020 ‘tahun paling suram’ dalam ekonomi Singapura sejak mencapai kemerdekaan pada 1965.

Menurut akhbar Business Times, sebagai persediaan menghadapi kesan sampingan ekonomi, kerajaan memperkenalkan tiga pakej menyelamat berjumlah S$68.8 bilion, kata Seah, menambah krisis ekonomi mungkin lebih teruk tanpa langkah tersebut.

Bagaimanapun, meskipun usaha berkenaan, sejumlah besar pekerjaan masih terjejas apabila ekonomi menjerumus dalam kemelesetan serius, kata beliau.

“Syarikat mungkin perlu mengurangkan lebih ramai pekerja untuk menyelaras kos tenaga manusia sejajar dengan pendapatan. Selain itu, beberapa syarikat dengan kedudukan kewangan lebih lemah mungkin jatuh muflis,” kata Seah. Ini bermakna pengurangan pekerja mungkin meningkat kepada 45,600, hampir dua kali ganda daripada anggaran awal 24,500 sebulan lalu.

“Walaupun pekerja tetap menyumbang kepada kira-kira 62 peratus daripada jumlah tenaga kerja, pengurangan pekerja membabitkan pekerja tempatan adalah kurang disebabkan dasar yang bertujuan melindungi pekerjaan,” menurut Seah, merujuk kepada Skim Sokongan Pekerjaan oleh kerajaan. – Agensi

Gambar fail daerah kewangan Singapura yang lengang selepas perintah ‘pemutus litar’ dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengawal penyebaran COVID-19. – AFP