Bank digital bakal ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 19 JUN – Rangka kerja bank digital, yang dijangka dilancarkan menjelang akhir tahun, kini 50 peratus siap, dan lebih 10 pihak telah menyatakan minat untuk menubuhkan bank digital di negara ini.

Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Kewangan Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali, yang bercakap kepada pemberita di luar MyFintech Week 2019, berkata pihak-pihak berkenaan terdiri daripada gabungan pendatang baharu dan penggiat kewangan.

“Ada banyak pihak yang tertarik yang sudah berbincang dengan kami. Ini membantu kami memahami model perniagaan mereka dan cadangan baik yang diterima berkaitan bank digital,” katanya.

Beliau berkata tujuan rangka kerja ini adalah untuk melindungi sistem dan memberi perkhidmatan kepada segmen yang tidak mendapat perkhidmatan seperti syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro.

“Ini penting kerana bank digital kini mempunyai potensi untuk membawa kecekapan teknologi dan menembusi pasaran yang belum diteroka dalam sektor kewangan.

Segmen ini memerlukan jenis ekosistem yang berbeza untuk mendapatkan pembiayaan,” kata Suhaimi.

Pada masa ini, terdapat 240 syarikat teknologi kewangan di Malaysia dengan 40 peratus dalam industri sistem pembayaran, dan secara keseluruhan, terdapat 48 pembekal e-wallet. – Bernama