Bank dijangka alami kerugian RM79 bilion

KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Bank-bank berkemungkinan besar mengalami kerugian bernilai RM79 bilion dari segi kapasiti untuk memberi pinjaman atau dikenali ‘kerugian pengubahsuaian’ sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium enam bulan pada April sehingga September, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September tersebut.

“Bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion sama ada kepada rakyat atau peminjam.

“Demi memastikan rakyat terus terpelihara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa serta akan mengambil tindakan yang diperlukan seperti yang dibuat sebelum ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9. – Bernama