Bank Dunia digesa bantu ke arah kesaksamaan vaksin

KUALA LUMPUR,  23 JUN – Malaysia hari ini menggesa Bank Dunia membantu negara membangun menikmati kesaksamaan dalam agihan vaksin global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata perbuatan membolot vaksin oleh negara maju merupakan satu tindakan tidak bermoral yang tidak mencerminkan kepimpinan global yang bertanggungjawab dan dihormati.

“Kami hargai sumbangan yang kami akan terima daripada negara maju pada minggu-minggu mendatang, namun ini tidak ‘menghalalkan’ apa yang berlaku sejak beberapa bulan lepas dan inilah yang mengawal pasaran vaksin.

“Kita mewujudkan COVAX dalam semangat perpaduan global sebagai mekanisme kesaksamaan vaksin, dan itu menjadi satu kegagalan yang besar, dan bagi saya Bank Dunia bertanggungjawab membantu negara-negara membangun dengan menjadi suara yang lantang dalam memastikan kesaksamaan vaksin di peringkat global,” katanya dalam amanat khas pada pelancaran Malaysia Economic Monitor – Edisi Jun 2021 secara maya. 

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, berkata ada keperluan untuk perpaduan diperkukuhkan semula di samping keperluan mendesak dalam merapatkan jurang kesaksamaan vaksin yang menyebabkan negara berpendapatan rendah dan sederhana ketinggalan. 

“Kami mahu kesaksamaan vaksin diwujudkan sekarang dan pada masa depan. Hanya itu sahaja caranya untuk kita keluar daripada pandemik ini dan juga wabak pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan berhasrat memastikan 60 peratus penduduk negara ini divaksinasi menjelang penghujung September ini.

Khairy berkata kerajaan sedang menambah bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepat pelaksanaan program imunisasi selain mewujudkan PPV mega untuk meningkatkan kadar pemvaksinan. – Bernama

Petugas kesihatan melakukan proses suntikan vaksin COVID-19 kepada orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, semalam. – Bernama