Bank Dunia kurangkan prospek pertumbuhan Asia

BEIJING, 28 SEPT – Bank Dunia hari ini mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi untuk negara membangun di Asia Timur disebabkan kesan varian koronavirus Delta dan menggesa kerajaan supaya membantu perniagaan kecil untuk mengelak kesan teruk jangka panjang.

Tidak termasuk pertumbuhan kukuh China, negara membangun di Asia Timur harus mencatat pertumbuhan 2.5 peratus tahun ini, merosot daripada ramalan 4.4 peratus pada April, kata pemberi pinjaman berpangkalan di Washington dalam satu laporan. Ia berkata China, ekonomi terbesar rantau, harus berkembang sebanyak 8.5 peratus.

Rantau itu ‘terkesan teruk’ selepas China, Vietnam dan kerajaan lain mengekang wabak koronavirus pada tahun lalu, menurut bank.

Ia berkata aktiviti perniagaan di Vietnam, Thailand, Filipina dan ekonomi lain meningkat tetapi sekarang ‘menunjukkan tanda-tanda kemelesetan.’

“Rantau terjejas teruk oleh varian Delta sementara banyak ekonomi maju sedang mencatat pemulihan,” kata Bank Dunia. “COVID-19 akan mengurangkan pertumbuhan dan menambah ketidaksamaan melainkan kesan diatasi dan peluang direbut.”

Rantau mesti menambah pengeluaran vaksin disebabkan import yang tidak boleh diharap dan permintaan tinggi, menurut bank. Ia berkata kerajaan juga perlu menggunakan ujian, mengesan dan mengasing untuk membendung jangkitan dan memperkukuh sistem kesihatan mereka.

Untuk mencegah kesan ekonomi jangka panjang, bank berkata kerajaan perlu menyokong syarikat produktif dan menggalak pesaing baharu, mempromosi pembangunan teknologi serta mengurangkan sekatan perniagaan.

Negara juga perlu mempertingkat ‘perlindungan sosial’ dengan menambah akses kepada ‘bantuan’ untuk golongan miskin, kata bank. – AP

Orang awam mencuba handset iPhone 13 di sebuah kedai Apple di Beijing kelmarin. Bank Dunia mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi untuk negara membangun di Asia Timur disebabkan varian koronavirus Delta. – AP