Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank dunia lulus dana as$12 bilion untuk vaksin

    WASHINGTON, 14 OKT – Bank Dunia kelmarin mengumumkan Lembaga Pengarah Eksekutifnya meluluskan AS$12 bilion untuk membiayai pembelian dan pengedaran vaksin, ujian saringan dan rawatan COVID-19 kepada negara-negara membangun, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Pembiayaan itu bertujuan menyokong program vaksinasi untuk satu bilion orang, sebahagian pakej Bank Dunia keseluruhan bernilai AS$160 juta sehingga Jun 2021 bagi membantu negara-negara membangun memerangi pandemik, menurut satu kenyataan.

    Pembiayaan baharu itu untuk program tindak balas kecemasan COVID-19 Bank Dunia yang meliputi 111 buah negara.

    Penduduk di negara-negara membangun juga memerlukan akses ter-hadap vaksin COVID-19 yang selamat dan efektif, menurutnya.

    “Kami meningkatkan bantuan sehingga negara-negara membangun memiliki akses terhadap vaksin,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia David Malpass dalam satu kenyataan.

    “Akses kepada vaksin efektif dan selamat serta sistem penghantaran kukuh adalah penting untuk mengubah laluan pandemik dan membantu negara-negara yang mengalami bencana ekonomi dengan fiskal terjejas bergerak ke arah pemulihan mudah pulih,” ujarnya.

    Pertubuhan Kewangan Antarabangsa, cawangan pemberi pinjaman sektor swasta dari Bank Dunia telah melabur dalam pengilangan vaksin menerusi Platform Kesihatan Global sebanyak AS$4 bilion, menurut Bank Dunia.

    Para penyelidik sedang mengusahakan lebih 170 vaksin COVID-19 yang berpotensi.
    Kes COVID-19 global melepasi 38 juta, malam kelmarin, dengan lebih sejuta kematian dilaporkan, menurut data Johns Hopkins University.

    Dalam laporan terbaharu Prospek Ekonomi Dunia dikeluarkan kelmarin, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi global menguncup sebanyak 4.4 peratus pada 2020, memberi amaran mengenai krisis ini kemungkinan besar akan “berlarutan untuk tempoh masa yang panjang dan tidak menentu.” – Bernama/AFP

    Gambar fail menunjukkan sudut jalan antara ibu pejabat Bank Dunia dan bangunan IMF di Washington pada 1 Oktober. Bank Dunia berkata ia meluluskan dana berjumlah AS$12 bilion untuk negara-negara membangun bagi membiayai pembelian dan pengagihan vaksin, ujian dan rawatan COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda