Bank Dunia: Produktiviti pertanian Malaysia rendah

PUTRAJAYA, 20 NOV – Produktiviti sektor pertanian Malaysia adalah 45 peratus daripada purata dalam kalangan negara berpendapatan tinggi, menurut laporan Bank Dunia mengenai Transformasi Pertanian dan Pertumbuhan Inklusif: Pengalaman Malaysia.

Berdasarkan kedudukan itu, laporan yang dilancarkan di sini hari ini, memperlihatkan mengenai pentingnya pembaharuan selain memperluas sumbangan sektor itu kepada trajektori pembangunan negara.

Laporan itu menyebut bahawa jika transformasi pertanian tertangguh, ekonomi juga akan sukar untuk keluar daripada status berpendapatan menengah, dan usaha untuk meningkatkan kemakmuran bersama antara masyarakat luar bandar dan bandar, mungkin terbantut.

“Pertanian di Malaysia masih dikuasai oleh pekebun kecil, dengan populasi petani yang semakin tua. Dengan kelapa sawit meliputi 75 peratus daripada keluasan tanah yang ditanam, kepelbagaian pertanian harus dipertimbang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman tunggal selain melindungi sektor itu daripada kejutan luar.

“Walaupun kejayaan negara dalam bidang pertanian dijadikan kajian kes bagi banyak ekonomi pesat membangun, usaha selanjutnya perlu jika Malaysia mahu sektor pertaniannya mencerminkan ekonomi maju,” menurut laporan itu.

Sementara itu, pengurus Bank Dunia, Malaysia, Firas Raad berkata dalam usaha mengetengahkan transformasi pertanian Malaysia, sektor itu perlu terus dimodenkan selain menangani cabaran baharu.

Ini termasuk mencapai kepelbagaian, menangani penduduk yang semakin tua, dengan lebih 70 peratus petani berusia melebihi  60 tahun, serta meningkatkan produktiviti.

“Kami berharap kerajaan dapat menangani cabaran baharu ini dengan tekad dan semangat yang sama yang digunakan untuk mengubah sektor pertaniannya dalam beberapa dekad lepas.

“Pertanian merupakan nadi transformasi struktur ekonomi negara. Tiada negara yang bertukar kepada status berpendapatan tinggi tanpa transformasi pertanian yang berjaya,” katanya pada pelancaran laporan itu di sini hari ini. – Bernama