Bank dunia umum pakej bantuan AS$12 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Kumpulan Bank Dunia akan menawarkan pakej bantuan kewangan segera bernilai sehingga AS$12 bilion untuk membantu negara-negara terjejas menangani impak kesihatan serta ekonomi akibat COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata pakej dalam bentuk pembiayaan itu antara lainnya bertujuan membantu negara-negara anggotanya mengambil tindakan efektif selain mengurangkan impak tragik akibat penularan virus itu di peringkat global.

“Menerusi pakej itu, Kumpulan Bank Dunia akan membantu negara-negara sedang membangun meningkatkan sistem kesihatan termasuk akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan bagi melindungi orang ramai daripada epidemik itu. Ia juga bagi memperkukuh aspek pemantauan penyakit, mempertingkat intervensi kesihatan umum dan bekerjasama dengan sektor swasta bagi mengurangkan impak dari segi ekonomi.

“Pakej itu beserta kewangan yang diperoleh daripada pihak seperti Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA), Bank Antarabangsa bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (IBRD) dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), akan diselaras secara global untuk membantu respon mengikut (keperluan) negara terbabit,” katanya.

Menurut Kumpulan Bank Dunia, pakej COVID-19 itu akan menyalurkan sumber awal krisis sehingga AS$12 bilion dalam bentuk pembiayaan yang mana AS$8 bilion adalah berasaskan konsep ‘fast track.’

Ini merangkumi pembiayaan baharu sehingga AS$2.7 bilion daripada pihak IBRD; AS$1.3 billion (IDA) yang dilengkapi dengan pengutamaan semula AS$2 bilion bagi portfolio sedia ada Bank Dunia dan AS$6 bilion daripada IFC, termasuk AS$2 bilion daripada kemudahan perdagangan yang wujud pada masa ini.

Ia juga termasuk nasihat dasar dan bantuan teknikal bagi merangka pengetahuan dan kepakaran di peringkat global mahu pun negara terbabit.

Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass berkata bank tersebut berusaha untuk menyalurkan respon yang pantas dan fleksibel berdasarkan keperluan negara-negara sedang membangun menangani COVID-19. – Bernama