Bank, firma penerbangan alami gangguan sistem

SYDNEY, 17 JUN – Bank dan syarikat penerbangan utama di Australia dan Amerika Syarikat (AS) mengalami gangguan sistem internet hari ini, dengan beberapa syarikat menyalahkan ‘pembekal luar’ atas gangguan tersebut.

Kebanyakan firma kewangan utama Australia melaporkan pelanggan tidak dapat mengakses laman web dan aplikasi peranti, sementara laman web Downdetector berkata beberapa syarikat penerbangan AS turut terjejas. Syarikat penerbangan American, Delta, United dan Southwest adalah antara yang terjejas walaupun keempat-empat laman web nampaknya beroperasi sejurus selepas itu. Isu itu nampaknya berlarutan di Australia – di mana masalah bermula pada tengah hari – dengan perkhidmatan hanya pulih sejam selepas laporan pertama. Jurucakap untuk bank ANZ memberitahu AFP insiden itu ‘mempunyai kaitan dengan pembekal luar’ tetapi ‘sambungan dipulihkan dengan segera dan perkhidmatan yang paling teruk terjejas sudah kembali beroperasi.’

Westpac dan ME Bank juga melapor-kan masalah sama dengan aplikasi peranti atau produk perbankan dalam talian, sementara pelanggan untuk St George dan beberapa bank serantau lain melaporkan sistem mereka juga terjejas.

Gangguan berlaku pada pukul 2:10 waktu Sydney dan bukan sahaja terbatas kepada sektor perbankan. Syarikat penerbangan Virgin Australia berkata di Twitter: “Kami sedang mengalami gangguan sistem yang menjejas laman web kami dan Pusat Kontak Pelanggan.” – AFP

Gambar menunjukkan seorang lelaki cuba menggunakan akaun banknya menerusi aplikasi peranti di Sydney kelmarin ketika bank negara melaporkan gangguan dalam talian yang menjejas laman web dan aplikasi. – AFP