Bank Islam buka akaun bank secara maya

KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan pelanggan untuk memanfaatkan platform perkhidmatan maya Virtual Account Opening (VAO) yang membolehkan mereka membuka akaun bank yang terpilih secara dalam talian mengikut keselesaan mereka.

Dalam kenyataan, bank itu berkata ia termasuk Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard dan Akaun Pelaburan Al-Awfar.

Penyelesaian mudah yang disediakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan, pada masa sama, menjimatkan kos serta bersifat mesra alam kerana tidak melibatkan penggunaan kertas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Kemu-dahan pembukaan akaun secara maya ini bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada pelanggan, pada masa sama, ia juga berperanan dalam membentuk industri perbankan masa depan.

“Sejak pelancaran VAO pada Februari 2018, kami telah menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun melalui platform ini setiap bulan, dan pelanggan tidak perlu menghabiskan masa mereka untuk menunggu dan membuat pendaftaran akaun baharu di kaunter.  – Bernama