Bank Jepun kekalkan dasar mata wang

TOKYO, 17 SEPT – Bank pusat Jepun berkata hari ini ia akan mengekalkan dasar mata wangnya tatkala ekonomi negara beransur-ansur pulih, tanpa perubahan besar diumumkan sehari selepas Perdana Menteri baharu Yoshihide Suga menerajui tampuk pentadbiran.

Suga telah berjanji akan meneruskan kerja bekas pemimpin Shinzo Abe, dengan program ‘Abenomics’ yang dilancarkan oleh beliau membabitkan perbelanjaan kerajaan besar-besaran, pelonggaran mata wang besar-besaran dan usaha memotong pita merah.

Bank Jepun mengekalkan kadar faedah negatifnya sebanyak 0.1 peratus ke atas deposit bank, serta dasar pembelian tanpa had bon kerajaan Jepun, untuk memastikan hasil 10 tahun mereka kekal pada sifar peratus.

Haruhiko Kuroda, gabenor bank, berkata institusi itu akan terus bekerjasama dengan kerajaan serta menambah beliau tidak mempunyai ‘rancangan’ untuk meletak jawatan sebelum penggalnya berakhir pada tahun 2023.

“Tatkala Perdana Menteri baharu Suga mengambil alih jawatan semalam, kami akan terus menyokong ekonomi Jepun dengan dasar mata wang yang diamalkan sekarang,” beritahunya kepada wartawan.

Menerusi langkah perangsangnya, bank akan ‘berusaha untuk memastikan pembiayaan perniagaan dan kestabilan pasaran kewangan’ terjamin ketika berdepan pandemik koronavirus, tambah Kuroda.

Ekonomi ketiga terbesar dunia itu menyusut 7.9 peratus pada suku kedua tahun ini, angka paling teruk sejak data yang sama diperoleh pada 1980. – AFP