Bank, sekolah Lubnan ditutup

BEIRUT, 12 NOV – Bank dan sekolah ditutup di Lubnan hari ini tatkala pembantah cuba menghalang pekerja daripada memasuki institusi kerajaan hampir satu bulan mogok berterusan di jalanan.

Bantahan meletus di seluruh Lubnan pada 17 Oktober, menuntut penyingkiran ahli politik yang dilihat oleh penunjuk perasaan sebagai tidak cekap dan korup.

Kerajaan meletak jawatan pada 29 Oktober namun ia masih diletak di bawah kapasiti sementara memandangkan tidak ada usaha yang telah dilakukan untuk menubuh kerajaan baharu.

Berpuluh pembantah berkumpul berhampiran Istana Keadilan di tengah Beirut pada pagi ini, menuntut badan kehakiman bebas ditubuhkan tatkala mereka cuba menghalang hakim dan peguam daripada pergi ke tempat kerja, kata seorang wartawan AFP.

Di bandar Aley timur Beirut, di selatan bandar Tyre, dan timur bandar Baalbek, penunjuk perasaan mengadakan mogok di luar atau di dalam pejabat pembekal telekomunikasi, lapor media tempatan.

Banyak sekolah dan universiti ditutup, begitu juga dengan bank selepas pekerja mereka mengadakan mogok umum berhubung layanan teruk oleh pelanggan pada minggu lalu.

Bank mempunyai akses terhad kepada dolar sejak bermulanya protes, mencetuskan kebimbangan penurunan nilai mata wang sebenar dan perasaan tidak puas hati di kalangan pemegang akaun.

Pelajar, yang telah muncul sebagai peserta utama dalam pemberontakan, dijangka mengadakan demonstrasi seterusnya pada lewat hari ini sebelum ucapan presiden pada petang. – AFP

Pembantah pelajar melaung slogan ketika protes berterusan ke atas kerajaan di depan kementerian pendidikan di Beirut, Lubnan, kelmarin. – AP