Bank StanChart kemas kini waktu operasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Dengan situasi penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Bank Standard Chartered (StanChart) telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan penularan jangkitan dan kalangan pekerjanya dan klien menerusi pelan kelangsungan perniagaan (BCP) yang mantap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan StanChart, di sini, hari ini, berikutan dengan garis panduan oleh pihak kerajaan, StanChart telah mengemas kini waktu perbankannya bagi cawangan-cawangan Gadong, Manggis dan Kuala Belait.

Bagi cawangan Gadong ialah Isnin hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 1 petang manakala itu, Jumaat dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi. Bagi cawangan Manggis Mall ialah Isnin hingga Khamis dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang dan Jumaat pada pukul 2 petang hingga 4 petang serta ditutup pada Sabtu.

Manakala itu, bagi cawangan Kuala Belait ialah Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan ditutup pada Sabtu.

Kenyataan menjelaskan bahawa bagi mengurangkan kontak semasa tempoh yang mencabar ini, cawangan Kuala Belait tidak akan menerima penyimpanan secara tunai melalui kaunter manakala itu, penyimpanan tunai melalui kaunter di cawangan Gadong dan Manggis Mall adalah dihadkan pada Isnin dan Khamis sahaja.

Mesin Simpanan Tunai (CDM) yang beroperasi setiap hari terus beroperasi bagi kesemua penyimpanan tunai.

Di samping itu, waktu terakhir pemprosesan bagi semua pembayaran elektronik melalui perbankan dalam talian dan Straight2Bank serta pembayaran melalui kaunter-kaunter cawangan juga telah dikemaskinikan dengan perubahan berkenaan dapat dilihat melalui laman sesawang bank berkenaan.

Ketua Perbankan Perniagaan, Swasta dan Pengguna, Jocelane Basir dipetik menekankan bahawa pihak mereka amat mengambil serius situasi pandemik dan melindungi pekerja serta klien mereka merupakan keutamaan bagi bank berkenaan.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa pihaknya menyeru semua orang untuk memanfaatkan kaedah perbankan digital yang mudah serta transaksi tanpa wang tunai bagi transaksi kewangan harian mereka.

“Kami juga akan mengambil pendirian yang tegas untuk memastikan kepatuhan pada langkah-langkah kawalan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi kesemua klien dan pekerja kami,” tambah beliau.

Kenyataan menyatakan, klien StanChart yang ingin bertemu dengan seorang wakil harus membuat temu janji dahulu dengan wakil berkenaan secara langsung atau dengan menghantar e-mel.