BEIJING, 10 NOV – Urusan perkhidmatan kewangan bank terbesar China berkata ia telah menjadi mangsa serangan ransomware yang dilaporkan mengganggu perdagangan dalam pasaran Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
Perkhidmatan Kewangan Bank Perindustrian dan Komersial China (ICBC) mengendalikan perdagangan dan perkhidmatan lain untuk institusi kewangan. Satu kenyataan di laman webnya yang dilihat hari ini menyatakan bahawa serangan ransomware minggu ini telah mengganggu beberapa sistemnya tetapi pihaknya telah memutuskan sambungan bagi bahagian-bahagian sistem yang terjejas untuk mengehadkan impak daripada serangan tersebut.
Syarikat yang berpangkalan di New York itu berkata ia sedang menyiasat dan telah melaporkan masalah tersebut kepada pihak berkuasa.
Semua perdagangan perbendaharaan dilaksanakan pada Rabu dan perdagangan pembiayaan repo pada Khamis telah diselesaikan, katanya. Ia berkata perbankan ICBC, e-mel dan sistem lain tidak terjejas.
Syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut tetapi laporan mengatakan serangan tersebut dilakukan oleh LockBit, sindiket ransomware berbahasa Rusia yang tidak menyasarkan bekas negara-negara Soviet.
Menurut firma keselamatan siber, Emsisoft, ia adalah salah satu varian ransomware yang paling cekap.
Aktif sejak September 2019, ia telah menyerang ribuan organisasi. – AP
