NEW DELHI, 4 SEPT – Ribuan rakyat India berhimpun hari ini di bawah pemimpin parti pembangkang utama Kongres Rahul Gandhi, yang membuat kritikan pedas terhadap kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berhubung peningkatan pengangguran dan kenaikan harga makanan serta bahan api di negara itu.
Gandhi menuduh Modi melaksanakan dasar yang menguntungkan kumpulan perniagaan besar dengan mengorbankan industri kecil dan sederhana serta petani dan pekerja miskin.
Beliau juga berkata kerajaan sedang mewujudkan suasana ketakutan dan kebencian, merujuk kepada ketegangan Hindu-Muslim.
Beliau berkata harga petrol, diesel, gas memasak dan barangan makanan penting seperti gandum telah meningkat 40 hingga 175 peratus sejak Modi berkuasa lapan tahun lalu.
Tanpa menamakan para pemimpin perniagaan, Gandhi berkata dua kumpulan utama telah mengendalikan pelabuhan, lapangan terbang, penapisan minyak, sektor teknologi maklumat dan media besar India.
Perhimpunan itu diadakan di La-pangan Ramlila di New Delhi, yang digunakan untuk perayaan keagamaan, mesyuarat politik utama dan acara hiburan.
Kerajaan Modi berkata ia telah menyediakan berjuta-juta orang dengan tandas, sambungan gas, air minuman, akaun bank, insurans kesihatan percuma dan rumah.
Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman mempertahankan pengurusan ekonomi kerajaan di parlimen dan berkata tiada kebarangkalian India tergelincir ke dalam kemelesetan walaupun berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh konflik Ukraine yang berterusan. – AFP