Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Bantahan ganas di kilang iPhone terbesar di China

    BEIJING, 23 NOV – Bantahan ganas telah berlaku di sekitar kilang iPhone Foxconn tengah China, ketika pekerja bertelagah dengan anggota keselamatan berhubung gaji dan keadaan hidup di kilang itu.

    Dalam video yang dikongsi dengan AFP atau disebarkan dalam media sosial, ratusan pekerja dilihat berarak di jalan raya dan ditangani oleh polis rusuhan serta kakitangan yang memakai sut hazmat.

    Syarikat teknologi Taiwan Foxconn itu hari ini mengesahkan pergolakan tersebut.

    Rakaman yang dikongsi dengan AFP dan dirakam oleh seorang pekerja kilang menunjukkan seorang terbaring di tanah dekat dengan seorang lelaki berjaket yang berlumuran darah dengan kepalanya terikat dalam usaha untuk menahan luka.

    Klip lain menunjukkan puluhan kakitangan berpakaian hazmat memegang belantan dan mengejar pekerja, salah seorang daripadanya tersungkur ke tanah dan kepalanya ditendang.

    Gambar fail menunjukkan pekerja berbaris untuk menjalani ujian COVID di kilang Foxconn di Wuhan pada 5 Ogos 2021. – AP

    Pekerja yang berkongsi video itu menganggarkan kira-kira 20 orang cedera dalam pertempuran itu, sebahagiannya dibawa ke hospital.

    Konfrontasi tercetus selepas pekerja yang menandatangani perjanjian dengan kilang untuk bekerja kira-kira 30 hari sebagai balasan untuk bayaran sekali sahaja sebanyak 3,000 yuan (AS$420) tiba-tiba melihat angka itu dikurangkan kepada hanya 30 yuan, katanya kepada AFP.

    Ramai pekerja juga berasa marah dengan keadaan hidup yang ‘huru-hara’, katanya, sambil menambah dia ‘tidak menerima apa-apa makanan’ daripada syarikat itu sejak kelmarin.

    Beberapa kakitangan yang negatif COVID juga diarahkan untuk bekerja bersama rakan sekerja yang diuji positif tetapi tidak dikuarantin, kata pekerja tersebut.

    Foxconn berkata pekerja telah mengadu tentang gaji dan keadaan di kilang itu tetapi menafikan ia telah menempatkan rekrut baharu bersama kakitangan positif COVID di kilang Zhengzhou, pengeluar iPhone terbesar di dunia.

    “Mengenai sebarang keganasan, syarikat akan terus berkomunikasi dengan pekerja dan kerajaan untuk mengelakkan kejadian serupa berulang,” kata firma itu dalam satu kenyataan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...