Bantahan ragut 11 nyawa

SANTIAGO, 22 OKT – Bantahan yang tercetus sejak hujung minggu lalu di Santiago dan beberapa bandaraya di Chile setakat ini, mengorbankan 11 orang, memetik seorang pegawai semalam, lapor agensi berita Xinhua.

“Angka korban rasmi setakat ini ialah 11 orang, tiga kematian dilaporkan pada Sabtu dan lapan pada Ahad,” kata Datuk Bandar Santiago Mayor Karla Rubilar pada sidang media.

Demonstrasi membantah kenaikan tambang kereta api bawah tanah itu bertukar menjadi rusuhan apabila penunjuk perasaan membakar serta merosakkan infrastruktur yang terdapat di stesen kereta api.

Pada Sabtu, Presiden Sebastian Pinera mengisytiharkan darurat di Santiago dan kawasan berdekatan dan mengenakan perintah berkurung. Beliau kemudian mengumumkan kerajaan menarik balik sementara langkah menaikkan kadar tambang.

Hanya satu daripada enam perkhidmatan kereta api bawah tanah beroperasi di Santiago semalam, bagaimanapun pihak kerajaan menambah perkhidmatan bas tambahan sebanyak 465 dengan pengangkutan percuma ke kawasan pusat bandar. – Bernama

Penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan pada hari keempat apabila bantahan ke atas kenaikan harga tiket kereta api bawah tanah bertukar menjadi ganas, di Santiago, pada 21 Oktober. – AFP