Bantahan rang undang-undang ekstradisi memuncak

HONG KONG, 12 JUN – Pertempuran ganas meletus di Hong Kong hari ini ketika polis cuba untuk menghentikan para pembantah daripada menyerbu parlimen di bandar itu, sementara puluhan ribu orang lagi menyekat jalan-jalan raya utama bagi menentang rancangan kerajaan untuk membenarkan ekstradisi ke China.

Polis menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan belantan untuk menyuraikan khalayak pembantah yang berpakaian hitam – kebanyakannya belia dan pelajar – menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan undang-undang yang disokong Beijing.

Pertempuran meletus sejurus selepas 3 petang (0700 GMT) – tarikh akhir pembantah beri kepada kerajaan untuk memansuhkan rang undang-undang kontroversi itu – dan berterusan sehingga ke petang dalam keganasan politik paling buruk yang bandar itu saksikan selama bertahun-tahun.

Berderet-deret polis rusuhan menangani penunjuk perasaan – kebanyakannya memakai topeng wajah, helmet atau gogal dan menggunakan payung sebagai pelindung – yang telah berkumpul di pusat bandar menjelang perdebatan dijadualkan dalam perundangan bandar itu.

Perdebatan itu telah dijadualkan semula ‘pada tarikh kemudian’ selepas khalayak ramai menyekat jalan-jalan utama di luar parlimen. – AFP