Bantahan seluruh negara gesa kerajaan berundur

COLOMBO, 6 MEI – Rangkaian perkhidmatan bas dan kereta api di Sri Lanka terhenti manakala pejabat-pejabat dan kilang-kilang kosong pada hari ini di selepas bantahan di seluruh negara meminta kerajaan untuk berundur disebabkan oleh krisis ekonomi yang semakin memburuk di negara itu.

Kehilangan bekalan elektrik selama berbulan-bulan dan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan menyebabkan kesukaran di seluruh negara pulau yang terletak di Selatan Asia itu.

Kemarahan awam mencetuskan bantahan meminta kerajaan untuk berundur selepas gagal menangani krisis, yang terburuk pernah berlaku di Sri Lanka sejak kemerdekaan pada 1948.

Jutaan pekerja enggan bekerja hari ini dalam bantahan yang dianjurkan oleh pergerakan kesatuan sekerja, dengan hampir kesemua jadual perkhidmatan kereta api dibatalkan.

Bas milik persendirian enggan bergerak sementara pekerja kilang membuat bantahan di luar kilang mereka dan bendera hitam digantung di seluruh negara sebagai tanda kemarahan terhadap kerajaan.

“Kami boleh melihat kesilapan dasar dilaksanakan oleh presiden yang menjadikan ekonomi di negara ini semakin teruk,” kata pemimpin kesatuan sekerja, Ravi Kumudesh. “Dia mesti berundur.”

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa berkeras bahawa dia enggan meletak jawatan meskipun bantahan semakin meningkat di seluruh negara, termasuk pembantah yang berkhemah di luar pejabatnya selama hampir sebulan. – AFP

Para pembantah mengibarkan bendera hitam sebagai tanda kemarahan terhadap kerajaan selepas krisis ekonomi semakin meruncing di Sri Lanka dan menggesa kerajaan untuk berundur.- AFP