RUANG tamu setiap rumah mahupun sesebuah bilik semestinya mempunyai sebuah sofa yang sering menjadi tumpuan para tetamu mahupun penghuninya. Ia digunakan untuk tempat bersantai ketika waktu lapang penghuni dan untuk memberi keselesaan pada para tetamu. Kehadiran bantal kecil pada sofa akan menceriakan lagi pemandangan ketika melihatnya. Selain menjadi satu alat perhiasan, bantal yang diletakkan pada sofa boleh menjadi alat untuk memberi keselesaan ketika beristirahat.
Barang yang diperlukan
Untuk proses pembuatan ini, terdapat beberapa barangan yang diperlukan untuk mereka bantal bulat berhiaskan bebola bulu (wool felt balls). Barang-barang yang diperlukan adalah kertas templat, pen/pensel fabrik, gunting, kain/fabrik pilihan, bebola bulu, garisan, pita pengukur badan, zip, mesin jahit, jarum peniti, kapuk/kapas bantal dan jarum menjahit.
Langkah-langkah yang harus dilakukan
Pada langkah pertama, ukur saiz bantal yang bakal digunakan dengan menggunakan kertas templat yang telah disediakan. Sebelum memotong templat yang telah dilakar, lebihkan saiz ukuran anda lebih kurang ½ inci. Ukuran yang dilebihkan ini adalah untuk ketika proses menjahit bagi mengekalkan saiz yang diinginkan. Tiru bahagian luar templat tersebut ke atas fabrik pilihan dan kemudian potong fabrik tersebut. Bahagian ini merupakan bahagian depan bantal bulat anda.
Manakala pada langkah kedua, untuk bahagian belakang bantal, templat yang digunakan untuk bahagian depan akan digunakan semula pada proses ini. Templat yang tersedia tadi perlu dipotong dua pada bahagian tengah untuk menjadikannya kepada dua bahagian. Untuk memudahkan anda memotong templat tersebut, lipat bahagian tengah templat dan kemudian potong menggunakan gunting. Tiru templat tersebut ke atas fabrik pilihan dengan melebihkan ½ inci pada bahagian tengah. Lebihan sukatan ini adalah untuk anda mencantumkan zip pada bahagian tengah yang akan memudahkan anda mencuci sarung bantal kemudian hari.








Langkah seterusnya adalah menjahit sarung bantal setelah fabrik dipotong. Dengan menumpukan perhatian pada bahagian belakang sarung bantal, lipat ke dalam ¼ inci pada bahagian tengah potongan dan jahit dengan memastikan bahagian luar fabrik menghadap bahagian dalam. Lakukan langkah yang sama pada satu bahagian lagi. Jika anda memilih untuk menggunakan zip pada bahagian belakang penemuan, anda boleh menjahitkannya selepas proses menjahit lipatan ini.
Pada langkah seterusnya, cantumkan kedua-dua bahagian (depan dan belakang) sarung bantal dengan menggunakan jarum peniti pada beberapa bahagian. Fungsi jarum peniti digunakan pada proses ini adalah merupakan alat mencantumkan sementara dan memegang fabrik ketika proses menjahit agar hasil akhir tidak berubah atau tidak sempurna. Setelah fabrik berada pada tempatnya selaras dengan bahagian depan dan belakang sarung bantal, jahitkan kedua-dua bahagian dengan jarak ¼ inci dari sudut hujung fabrik.
Setelah sarung bantal berjaya dijahit, anda perlu membalikkan sarung bantal tersebut di mana bahagian dalam ke luar sebelum melakukan proses yang seterusnya. Setelah memastikan sa-rung bantal berada pada bahagian yang betul, cantumkan bebola bulu yang telah tersedia dengan menggunakan jarum peniti. Susun setiap bebola mengikut cita rasa sendiri. Pada proses ini, bebola bulu akan dijahit rapat dengan menggunakan jarum secara manual. Pastikan setiap benang jahitan disembunyikan rapi agar nampak cantik.
Setelah mencantumkan kesemua bebola bulu tersebut, renggangkan setiap sudut jahitan yang telah dibuat dengan merenggangkan secara lembut. Ini adalah untuk memastikan setiap jahitan yang telah dilakukan dalam keadaan baik dan bercantum. Selain itu, ia juga memastikan setiap bebola bulu yang telah dijahit tidak tertanggal sekali gus menjejaskan bantal bebola bulu anda.
Pada langkah terakhir, masukkan kapas atau span bantal yang telah disediakan melalui bahagian belakang sarung bantal. Bagi anda yang menggunakan zip untuk menutup bahagian cantuman tersebut merupakan satu kelebihan kerana ia mudah untuk ditutup selepas memasukan span selain nampak kemas. Manakala bagi anda yang hanya menggunakan teknik pertindihan (overlap) pada bahagian penutup, anda perlu memastikan bahagian ini ketat dan kemas agar span bantal yang digunakan tidak mudah terkeluar. Selamat mencuba!

































