Banteras bom ikan diperluas

KOTA KINABALU, 10 JULAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah memperluaskan operasi sehingga ke pasar ikan untuk membanteras aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata operasi tersebut memberi tumpuan terhadap peniaga yang menjual ikan dipercayai hasil daripada aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

“Operasi ini penting bagi menyekat rantaian  penjualan dan permintaan terhadap ikan ini sekitar bandar raya ini.

“Kita juga percaya jika dapat mengesan dan menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan bom ini, nescaya individu melakukan aktiviti pengeboman ikan ini tidak dapat menjual ikan bom tersebut di pasaran dan seterusnya aktiviti pengeboman ikan dapat dibendung pada peringkat awalnya,” katanya.

Beliau berkata untuk membanteras aktiviti berkenaan, peniaga ikan seharusnya berniaga secara jujur dan mengetahui sumber ikan tersebut diperoleh supaya pembeli dapat menikmati ikan yang segar dan tidak tercemar. – Bernama