Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Banteras jenayah dalaman

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Bahiyah Bakir & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sesetengah petugas di Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja Brunei (JKED) didapati masih terus menyalahgunakan kuasa berkenaan barang-barang rampasan dan mereka yang terlibat dalam operasi rampasan pula mengambil kesempatan menjual barang rampasan ini kepada pihak-pihak tertentu secara gelap.

    Antara barang yang kerap dijual ialah rokok berjenama, arak, daging-daging mentah dan tanpa permit halal, yang semuanya berpotensi mendatangkan keuntungan besar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu daripada beberapa lagi isu berbangkit berkaitan dengan JKED semasa lawatan tidak berjadual ke JKED, di bangunan JKED, baru-baru ini.

    “Lain lagi cerita mengenai kebanyakan barang seludup, yang belum diambil tindakan, dan masih disimpan di pos-pos kawalan atau stor negara di Gadong. Ada jenis yang sepatutnya sudah dimusnahkan, seperti rokok tetapi tidak dimusnahkan bahkan dijual kepada pelanggan-pelanggan tertentu terutama kepada warga asing.

    “Selain dijual, ada juga yang dibahagi-bahagikan dalam kalangan kakitangan JKED dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sebagai kegunaan peribadi. Jika ini benar berlaku, menunjukkan proses pemusnahan tidak dibuat secara betul, dilakukan secara cuai, seperti tanpa kehadiran pihak-pihak atasan, untuk menyaksikan pemusnahan tersebut,” tegas Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berinteraksi bersama kakitangan semasa melawat salah sebuah bahagian di JKED.
    Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada lawatan tidak berjadual ke JKED, di bangunan JKED, baru-baru ini.

    “Jika ini berlaku ke atas rokok, tidak mustahil ia juga boleh berlaku ke atas lain-lain barang, seperti arak, daging mentah dan lain-lain. Ini namanya jenayah dalaman yang memerlukan keberanian dan ketegasan para pegawai atasan untuk mencegah atau membanterasnya.”

    Menyentuh mengenai isu penyeludupan barang-barang tegahan yang semakin menjadi-jadi di negara ini, Baginda mempersoalkan kenapa ia terus berlaku, sama ada belum menemui cara berkesan menanganinya, faktor-faktor kelemahan seperti kurang kepakaran atau tanpa keazaman yang bersungguh-sungguh untuk membanterasnya.

    “Maka di sinilah, mustahaknya kita mempunyai pemimpin dan pegawai-pegawai penguasa yang lebih fokus dan tegas serta berani bertindak. Mengenai sikap tegas, berani dan adil sangat kita perlukan untuk merealisasikan kebajikan rakyat tercapai,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah tidak mahu sebarang agensi kerajaan memberikan layanan yang berbeza kepada orang ramai.

    “Misalnya, mengenai pengenaan cukai. Orang biasa dikenakan cukai penuh, sedang orang kenamaan akan disediakan dokumen pembayaran cukai yang lebih rendah. Ini tidak boleh berlaku. Kerana jika berlaku juga, bererti kezaliman telah mengambil tempat dan keadilan berkubur.”

    Demikian juga ada ketikanya, titah Baginda, JKED mengenakan cukai hanya secara rambang terhadap barang-barang peribadi tertentu yang dibawa masuk ke negara ini, yang ternyata sangat mengelirukan.

    Ketika menyentuh mengenai isu pecah amanah, Baginda bertitah, “Yang menjijikkan seperti baru-baru ini, berlaku ke atas seorang pegawai kastam telah menyalahgunakan wang tunai ratusan ribu. Wang yang disalah gunakan itu ialah untuk membayar tuntutan lebih masa, elaun perjalanan dan elaun syif bagi pegawai-pegawai JKED.

    Baginda seterusnya menekankan mengenai satu lagi perkara lumrah yang sangat mengaibkan iaitu rasuah.

    “Ia diketahui berlaku di Pelabuhan Muara. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) pada sekitar November 2021 telah menahan tujuh orang pegawai bagi tujuan siasatan berhubung dengan sindiket pelepasan cukai dan barang-barang tegahan yang dimuat di dalam kontena-kontena melalui kapal laut di Pelabuhan Muara.

    “Menurut laporan terkini, April 2022, aktiviti rasuah yang melibatkan para petugas JKED di Pelabuhan Muara masih saja berlaku. Petugas-petugas terbabit dikatakan menerima sogokan daripada pemilik-pemilik syarikat bangsa asing. Sogokan itu dibuat untuk mencepatkan kelulusan dan pengeluaran kontena-kontena itu.

    “Jika memeriksa pun tidaklah sepenuhnya atau hanya setakat ala kadar sahaja, tetapi sebaliknya pula jika kontena-kontena yang dimiliki oleh warga tempatan, pemeriksaan akan dilakukan secara tegas dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

    “Ini adalah laporan di sekitar April 2022. Sementara kira-kira lima bulan ke hadapan iaitu sekitar September 2022, JKDN telah menahan pula beberapa orang pegawai dan kakitangan JKED, kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah semasa bertugas. Kes ini sudah dipanjangkan ke Biro Mencegah Rasuah (BMR) bagi tindakan lanjut.

    “Ini baru kejadian di Pelabuhan Muara. Belum lagi apa yang berlaku melalui jalan-jalan darat, yang juga tidak kurang menyaksikan kenderaan-kenderaan berat yang sering membawa kontena-kontena bersaiz besar. Bagaimana cara kontena-kontena itu diperiksa sebelum dilepaskan.

    “Beta mengambil maklum, pihak kita mempunyai alat x-ray scanner, bagi pemeriksaan kenderaan-kenderaan, adakah alat ini digunakan sepenuhnya dengan sempurna dan konsisten untuk mengesan apa-apa yang perlu dikesan, Beta sangat berhajat untuk mengetahuinya.”

    Baginda turut menekankan isu rasuah ini bukanlah isu mudah yang boleh ditangani secara berlebih kurang sahaja, kerana isu ini risikonya sangat tinggi, bukan saja kepada pihak yang dituduh, malah jua kepada pihak penguat kuasa yang menanganinya.

    “Pihak penguat kuasa tidak memadai setakat membuat tuduhan dengan cepat-cepat membuka fail, atau cepat-cepat menutup fail orang yang dituduh orang kenamaan.

    “Namun sekiranya betul, berlaku jenayah maka pada ketika itu, memang menjadi hak dan kewajipan bagi pihak berkuasa untuk menangani dengan undang-undang. Undang-undang yang memutuskan salah ataupun tidak,” tegas Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...