Banteras jenayah rentas sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) pada tahun 2021, Negara Brunei Darussalam akan menumpukan usaha ke arah mengenal pasti peluang-peluang dan cabaran dalam mengatasi isu jenayah rentas sempadan pada era pasca COVID-19.

Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof juga menekankan pentingnya bagi AMMTC dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman semasa musim pandemik COVID-19 dan menerapkannya ke dalam segala perancangan yang akan dibuat pada masa-masa akan datang.

“Ini termasuk rancangan Program Kerja SOMTC 2019-2021, yang akan dikaji semula semasa tempoh Brunei menjadi pengerusi tahun 2021 nanti,” ujarnya semasa acara penyerahan Pengerusi AMMTC kali ke-14 yang berakhir hari ini secara maya dari Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dengan acara penyerahan dari Republik Sosialis Vietnam itu, Brunei akan menjadi pengerusi mesyuarat itu pada 1 Januari tahun hadapan.

Menurut kenyataan yang diterima, Mesyuarat AMMTC ke-14 yang dipengerusikan oleh Menteri Keselamatan Awam Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Jeneral To Lam berlangsung secara maya hari ini, dengan dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil kerajaan ASEAN yang bertanggungjawab bagi isu jenayah rentas sempadan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menghadiri AMMTC secara maya di Bangunan JPM. – Gambar serahan JPM

Mesyuarat yang bertemakan Cohesive and Responsive ASEAN against Transnational Crime itu menumpukan trend-trend ancaman jenayah rentas sempadan yang berlaku di rantau ini sepanjang musim pandemik COVID-19.

Semasa sesi pleno pada sebelah pagi, Yang Berhormat Pehin juga telah mengongsikan mengenai usaha-usaha Negara Brunei Darussalam untuk membanteras kegiatan jenayah merentas sempadan, khususnya semasa musim pandemik COVID-19.

Ini termasuk operasi-operasi bersepadu yang dijalankan oleh agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di negara ini untuk mencegah kegiatan penyeludupan dadah haram dan barang-barang tegahan melalui sempadan darat dan kawasan perairan negara.

Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan perkembangan positif yang tercatat sepanjang tahun ini dalam usaha Negara Brunei Darussalam untuk menangani isu-isu jenayah rentas sempadan yang lain, seperti isu pemerdagangan orang dan jenayah siber.

Tahun 2021 akan menandakan buat pertama kalinya negara menjadi pengerusi bagi Mesyuarat AMMTC dan SOMTC serta merupakan negara pengerusi ASEAN dalam tahun yang sama.

Selaku pengerusi, Brunei juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat AMMTC kali ke-15 dan Mesyuarat SOMTC kali ke-21.

Turut mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat itu ialah setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari JPM.